KUALA LUMPUR – Seorang tukang jahit tampil dengan keunikannya sendiri menghasilkan Kullah, topi tradisi Punjabi yang dipakai di atas kepala.
Mohammad Jamil Abdul Hamid, 55, sanggup mengambil masa sebulan untuk menjahit Kullah dengan corak Jalur Gemilang sebagai tanda semangat patriotik menyambut Hari Kemerdekaan Ke-62.
“Khas untuk Hari Merdeka, saya buat idea macam mana tampil kelainan. Saya mengambil masa sebulan jahit Kullah.
“Kain yang digunakan tidak sampai 10 meter,”katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Dataran Putrajaya selepas sambutan Hari Kemerdekaan.
Bukan itu sahaja, tukang jahit yang mempunyai pengalaman selama 42 tahun itu turut menjahit sendiri persalinan blazer yang bercorak Jalur Gemilang.
Meskipun kos persalinannya termasuk Kullah itu menurut Jamil mencecah RM2,020, namun Jamil tidak rasa membazir demi menunjukkan rasa cintanya kepada negara setiap tahun. -MalaysiaGazette