Home Nasional Penghijrahan Malaysia menakjubkan – Al-Sultan Abdullah

Penghijrahan Malaysia menakjubkan – Al-Sultan Abdullah

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof bertitah pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 01 SEPTEMBER 2019

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, Malaysia telah melalui pelbagai peristiwa penghijrahan yang menakjubkan semenjak negara mencapai kemerdekaan 62 tahun yang lalu.

Titah baginda, negara telah melaksanakan pembangunan fizikal yang pesat menerusi peningkatan ekonomi yang mampan dan juga kematangan landskap politik.

“Pada hemat saya, masih terdapat banyak ruang lagi untuk kita melakukan hijrah bersama-sama.

“Pengukuhan etika dan nilai-nilai murni dalam pentadbiran dan pengurusan adalah satu aspek yang wajar dilaksanakan.

“Ini kerana pembentukan sebuah negara maju tanpa budaya integriti yang tinggi adalah merupakan penghijrahan yang tempang,” titah baginda.

Sultan Abdullah bertitah pada majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Turut berangkat mencemar duli, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Sultan Abdullah bertitah baginda juga menyokong usaha-usaha untuk meletakkan tadbir urus negara berasaskan kepada disiplin ilmu maqasid syariah.

Melalui pendekatan itu titah baginda, penghijrahan tertinggi yang boleh dicapai adalah dengan memartabatkan kebaikan dan menolak keburukan dalam setiap jiwa rakyat di negara ini.

“Selain itu, gagasan idea Rahmatan-lik-alamin yang diketengah juga boleh membawa konsep hidup bermasyarakat kepada tahap yang lebih tinggi.

“Konsep ini telah dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang bersifat sejagat dan rahmat untuk seluruh alam.

“Islam adalah agama yang menyemaikan kasih sayang kepada makhluk Allah SWT.

“Sifat ini perlu dipupuk dalam setiap jiwa anak watan agar keharmonian dan perpaduan antara semua kaum di negara ini akan dapat dipelihara,” titah baginda. – MalaysiaGazette