Home Nasional Terima dana 1MDB: Rafizi serah akuan berkanun, bukti pada SPRM

Terima dana 1MDB: Rafizi serah akuan berkanun, bukti pada SPRM

Rafizi Ramli (tiga dari kiri) menunjukkan akuan sumpah di Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 14 APRIL 2017.

PUTRAJAYA – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini menyerahkan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berbentuk akuan berkanun dengan menamakan bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa sebagai penerima dana dari syarikat pelaburan strategik 1Malaysia DEvelopment Bhd. (1MDB).

Beliau mendakwa, akuan berkanun turut menjadikan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada Selasa lalu bahawa siasatan ke atas SRC International masih berjalan yang boleh dijadikan bukti dan tiada alasan kes tersebut tidak dipercepatkan.

“Kita tiada keterdesakan begitu (tunjuk bukti) kerana semua bukti itu telah ada dan milik SPRM, salinan telah diambil dan dengan kenyataan peguam negara itu minggu ini bermakna bahawa kes ini masih lagi berjalan.

“Sebab itu saya serahkan bukti dari segi menamakan dan memaklumkan kepada rakyat bahawa perkara ini berlaku, ada pemindahan wang daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada peguam dan kemudian kepada Datuk Dr Nasharudin Mat Isa.

“Maka saya yakin SPRM ada semua dokumen itu,” katanya kepada pemberita sebelum membuat laporan dan menyerahkan bukti bekas pemimpin Pas itu menerima dana 1MDB di luar pekarangan ibu pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Semalam, Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan dalam akuan bersumpahnya mendedahkan bekas Timbalan Presiden Pas itu telah menerima dana melibatkan 1MDB melalui akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Rafizi mendakwa, beliau mendapat maklumat tersebut daripada bekas pegawai paling kanan dalam SPRM yang turut terlibat menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan.

Mengulas lanjut, Rafizi juga mengalu-alukan pihak berkuasa termasuk SPRM dan polis mengambil tindakan ke atas dirinya sekiranya beliau berbohong dalam akuan berkanun mengenai Nasharudin itu.

“Saya akan serah akuan berkanun ini kepada SPRM. Kalau SPRM nak buat tindakan dia boleh buat,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi mengulangi desakannya agar Nasharudin yang juga Pengerusi Eksekutif dan CEO Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) meletakkan jawatannya sebagai panel penasihat dalam SPRM kerana kes berkenaan mempunyai konflik kepentingan.

“Ini kerana berlaku pertentangan kepentingan yang begitu nyata, sekiranya beliau orang yang pernah dinamakan dalam kertas siasatan, dan ia bergantung kepada siasatan SPRM dalam kes paling besar dalam negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette