KUALA LUMPUR– Selepas enam jam perkhidmatan, projek eksperimen laluan bas T300 antara hab Ampang Point dan Bukit Indah yang menggunakan bas mini Rapid (bas lapan meter) yang bermula hari ini telah berjaya membawa kira-kira 200 penumpang ke destinasi masing-masing.
Perkhidmatan harian berakhir pukul 11.40 malam.
Menurut Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana), sehingga jam 12 tengahari tadi, sebanyak 21 perjalanan telah dibuat sejak 5.30 pagi dengan operasi menggunakan tiga bas.
“Jumlah penumpang dijangka meningkat pada Selasa ini (3 September) apabila sekolah dibuka semula dan orang ramai mula bekerja selepas cuti panjang tiga hari kerana cuti awam Hari Kemerdekaan pada hari Sabtu dan sambutan Maal Hijrah pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Projek tersebut dilaksanakan sebagai inisiatif pengumpulan data dan maklumat mengenai kesesuaian penggunaan bas mini untuk laluan-laluan perantara di luar pusat bandar.
Ia adalah sebahagian daripada usaha Prasarana dan anak syarikatnya, Rapid Bus dalam program transformasi sistem pengangkutan awam negara bagi menyediakan perkhidmatan berkelas dunia.
Projek eksperimen penggunaan bas 8-meter yang akan dilaksanakan selama tiga bulan juga adalah untuk memantapkan lagi perjalanan ‘first mile, last mile’ demi menggalakkan lebih ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.
Sebelum ini Laluan T300 menggunakan dua bas 12-meter untuk laluan sepanjang 11 kilometer dengan purata 800 penumpang sehari dengan jumlah 24,000 penumpang sebulan.-MalaysiaGazette
Artikel berkaitan