BAHAMAS- Sebuah pulau persendirian di Bahamas yang juga memiliki landasan pendaratan pesawat sendiri ditawarkan untuk dijual pada harga AS$95 juta (RM399.52 juta).
Ketua Penilai dan Penasihat firma perundingan hartanah Knight Frankd, Thomas Lam berkata, Blue Island di Exuma Cays yang terkenal dengan air berwarna biru nilam serta resort-resort ekslusif sedang dibuka untuk dijual.
Ia merupakan pulau persendirian terbesar di Bahamas.
“Saya rasa orang kaya-orang kaya dari tanah besar China akan berminat dengan pulau ini tambahan pula ia ditawarkan sekali dengan tanah pegangan bebas serta status penduduk tetap yang bakal menjadi bonus kepada pembeli,” katanya.
Pulau tersebut meliputi lima kilometer pantai berpasir putih, sebuah rumah utama, dok bagi tempat bot berlepas dan berlabuh, teres di luar, rumah tetamu, taman serta kolam renang di luar rumah.
Membeli pulau pastinya membuatkan seseorang itu layak untuk menjadi penduduk Bahamas kerana mengikut peraturan negara tersebut, pembeli yang membeli hartanah berharga sekurang-kurangnya AS$1.5 juta akan diberikan keistimewaan tersebut.
Selain itu, mereka juga akan diberikan hak untuk mengundi dan menikmati semua keistimewaan yang ditawarkan di negara berkenaan.
“Memiliki pulau persendirian seperti Blue Island sangat menarik minat individu-individu kaya sama ada dari China, Hong Kong atau tempat-tempat lain.
“Memiliki pulau adalah sesuatu cita-cita eksklusif,” kata Ketua Eksekutif Damianos Sotheby’s International Realty.
Bagi kebanyakan pembeli pulau persendirian, faktor utama yang menarik mereka adalah untuk menjadikan tempat beristirehat dan berharap pulau tersebut bakal memberikan pulangan pelaburan yang baik pada masa akan datang, kata agensi yang telah menjual pelbagai pulau persendirian di dunia termasuk kepada bintang Pirates of Caribbean, Johnny Depp.
Blue Island boleh dibangunkan menjadi sebuah pusat peranginan mewah yang boleh diakses melalui pesawat peribadi atau tempah khas dari Amerika Syarikat atau Eropah.
Kastam dan Imigresen turut diletakkan di pulau berkenaan bagi memudahkan pengunjung untuk tiba dan pulang.-Agensi