PUTRAJAYA – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil menjelaskan tindakan yang sering memuat naik gelagat anak dalam Instagram hingga mengundang kritikan netizen.
Ini kerana terdapat komen negatif menyifatkan tindakan Siti, 40, sebagai obses terhadap anak sendiri.
Jelas Siti, perkongsiannya mengenai gelagar Siti Aafiyah Khalid, 1, merupakan aktiviti normal seorang wanita bergelar ibu.
“Tidak semua mengenai Aafiyah saya akan kongsi. Kebiasaannya perkongsian saya mengenai Aafiyah adalah perkembangan terkini dia, contohnya telah pandai menari dan bercakap.
“Saya rasa semua ibu akan berkongsi perkara yang sama mengenai anak mereka. Saya tidak obses. Ada juga dalam platform tersebut mengenai kerjaya dan rutin saya,” katanya.
Dia ditemui pada sidang media Program Kayuhan Wanita 2019 di sini baru-baru ini.
Pelantun Kasihmu Selamanya yang kini aktif sebagai vlog menerusi YouTube tidak menafikan gemar memuat naik video anak tunggalnya dalam platform tersebut.
“Perkongsian mengenai Aafiyah dalam YouTube adalah lebih menjurus ke arah simpanan peribadi. Ada juga simpanan dalam telefon dan komputer riba, tetapi saya khuatir fail tersebut hilang atau rosak. Saya kongsikan dalam YouTube supaya boleh sentiasa ditonton sebagai album tumbesaran Aafiyah,” katanya.
Ketika mengulas mengenai kritikan netizen, Siti Nurhaliza bertegas, dia bebas berkongsi apa sahaja mengenai Aafiyah malah telah menanti selama 11 tahun untuk bergelar ibu.
“Lama saya tunggu Aafiyah, selama 11 tahun saya menanti saat untuk menjadi ibu. Beginilah, kalau tidak suka jangan tengok,” jelasnya. – MalaysiaGazette