KUALA LUMPUR – Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Negeri Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen mempertahankan penganjuran Malam Islam Bersatu Bersama Dr Zakir Naik yang akan berlangsung Sabtu ini di Masjid Cina Melaka.
Beliau berkata, kerajaan negeri hanya melarang Dr Zakir Naik menyampaikan ceramah dan bukannya solat, bacaaan Yaasin dan ibadah sunah yang lain.
Malah, katanya, penganjuran program itu dibuat atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi Masjid Cina Melaka dan bukannya menggunakan platform politik atau kerajaan.
“Nak anjur program agama pun sekarang kena jadi Ketua Menteri dulu Ke? Undang-undang mana yang dia rujuk?
“Jelas ternampak Idris Haron cuba melagakan saya dengan Ketua Menteri Melaka dan menjadi batu api atas program ibadah yang saya anjurkan.
“Beliau cuba divert isu dan lari dari perkara pokok,” katanya mengulas hantaran bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron di laman Facebook yang mempersoalkan penganjuran program tersebut di sebalik keputusan kerajaan negeri melarang Dr Zakir Naik berceramah di negeri Hang Tuah itu.
Mengulas lanjut, Mohd Rafiq turut mempersoalkan di mana jati diri Idris sebagai pemimpin Islam.
“Beliau berniat jahat dan cuba menangguk di air yang keruh,” katanya.
Selain Melaka, negeri lain yang turut melarang dakwah penceramah terbabit adalah Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Sarawak.
Pihak polis juga telah mengeluarkan arahan sama terhadap Zakir di seluruh negara.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tetap berpendirian untuk tidak mengektradisi Zaki walaupun mendapat tuntutan dari India selain desakan pelbagai ahli politik khasnya DAP untuk menghantarnya pulang. –MalaysiaGazette
Artikel berkaitan