Home Nasional Tiada masalah sokong, beli produk Muslim – Zuraida

Tiada masalah sokong, beli produk Muslim – Zuraida

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin sambil diiringi Pengerusi Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Kg Baru Salak Selatan, Chen Chong Hing (duduk, dua kanan) dan Profesor Kanan Naib Canselor Akademik Universiti UCSI, Prof. Datuk Dr. Khalid Yusoff (duduk,empat kanan) begambar kenangan dengan para tetamu yang hadir dan pelajar-pelajar dari Universti UCSI pada Majlis Lawatan Kerja ke Kampung Salak Selatan di Dewan Orang Ramai Kampung Baru, Kampung Baru Salak South, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin tidak membantah usaha kempen mengutamakan membeli barangan keluaran bumiputera apatah lagi ianya diyakini halal oleh umat Islam di negara ini.

Bagaimanapun, pada masa yang sama beliau berpandangan, tidak sepatutnya mana-mana pihak mendesak sesiapa untuk tidak membeli golongan lain pada masa sama.

“Pada saya, itu bukan satu masalah untuk menyokong atau membeli barangan bumiputra dan Muslim. Lagi-lagi ianya diyakini halal dan boleh digunakan tanpa was was.

“Tetapi pada masa yang sama janganlah meminta golongan ini untuk tidak membeli barangan dari pihak lain atau memboikot produk orang lain, itu sahaja,” katanya ringkas kepada pemberita di Kg Baru Salak Selatan sebentar tadi.

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa UMNO dan Pas mengecam kempen memboikot perniagaan bukan bumiputera.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata demikian selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan boikot berkenaan tidak berkesan dan hanya akan menyebabkan kemarahan.

“Jika Pas dan UMNO tidak menentang bukan Islam dan bukan Melayu, mereka harus mengamalkan pendirian yang sama mengecam kempen boikot produk bukan bumiputera seperti itu,” katanya Guan Eng yang kemudian mendapat kecaman.

Kempen yang bermula di media sosial itu menggesa agar orang Islam mengutamakan membeli produk keluaran bumiputera. –MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

Boikotlah telefon bimbit sekali, sindir Guan Eng