Home Politik Jangan rasiskan perpaduan UMNO-Pas

Jangan rasiskan perpaduan UMNO-Pas

Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Perpaduan ummah antara UMNO dan Pas cuba dirasiskan oleh sesetengah pihak.

Itu dakwaan Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia, Shahir Adnan berkata, tindakan pihak berkenaan kerana mereka gusar kuasa politik mereka terhakis.

“Ummah membawa maksud umat manusia, tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan. Ummah bukanlah istilah jumud yang khas untuk orang Islam berbangsa Melayu sahaja.

“Seharusnya parti politik lain tidak memainkan sentimen perkauman dengan menghidupkan api rasisme dengan memberikan persepsi perpaduan ummah itu rasis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Shahir, rakyat perlu tahu perpaduan ummah antara UMNO dan Pas merupakan satu bentuk penyatuan politik antara Barisan Nasional (BN) dan Gagasan Sejahtera.

BN pula diwakili oleh MCA dan MIC manakala Gagasan Sejahtera ada parti komponen IKATAN dan Berjasa.

“Pihak kerajaan pada hari ini tidak perlu gusar dan memberikan persepsi negatif kepada perpaduan ummah kerana secara prinsipnya ini merupakan perpaduan nasional yang merangkumi pelbagai perpaduan rakyat Malaysia pelbagai agama, bangsa dan keturunan.

“Pihak kerajaan khususnya dari parti DAP perlu bermuhasabah diri apabila secara faktanya mereka menang kerana 95 peratus masyarakat berbangsa Cina bersatu menyokong mereka pada
pilihanraya umum yang lepas. Jika sokongan padu masyarakat Cina ketika itu dikatakan sokongan rakyat, kenapa pula sokongan padu pelbagai bangsa yang muak dengan Pakatan
Harapan dilabel rasis pada hari ini?” soal Shahir.

Mengenai soal mempromosi produk muslim, ia dilihat telah
disensasikan oleh pihak yang ingin meraih sokongan politik tanpa melihat isu ini secara positif, kata Shahir.

Persoalannya, apakah perbezaan isu ini dengan kempen mempromosi produk halal di dalam negara kita dan ke luar negara, katanya.

Malaysia mahu menjadi hub pengeksport produk halal, maka industri memperkasakan produk buatan orang Islam harus dilaksanakan.

Faktanya, orang Islam merupakan orang yang paling faham dengan produk halal.

“Jadi, mengapa menteri-menteri begitu gusar dengan kempen produk orang Islam?” soalnya lagi.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia berpendirian bahawa masyarakat Malaysia yang beragama Islam haruslah mendahulukan produk buatan orang Islam untuk memajukan
industri Islam.

Dalam masa yang sama, masyarakat Malaysia beragama Islam tidak seharusnya memulaukan produk buatan orang bukan Islam kerana ekonomi Malaysia tidak hanya bergantung kepada industri Islam. – MalaysiaGazette