Home Ekonomi Harga minyak jatuh

Harga minyak jatuh

TOKYO – Harga minyak susut buat hari kedua, selepas banyak tanda-tanda perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China muncul, selain semakan lebih rendah pertumbuhan suku kedua Korea Selatan disebabkan eksport lebih rendah.

Harga minyak mentah Amerika Syarikat jatuh sebanyak AS$0.32 kepada AS$54.78 setong manakala Brent jatuh AS$0.07 kepada AS$58.59 setong.

Amerika Syarikat minggu ini melaksanakan tarif sebanyak 15 peratus ke atas pelbagai barangan China dan Beijing juga mengenakan duti baharu dalam senarai bernilai AS$75 bilion, sekali gus meningkatkan perang perdagangan yang tidak berkesudahan hampir setahun.

Presiden Donald Trump berkata, kedua-dua pihak akan mengadakan perbincangan pada bulan ini.

Ekonomi Korea Selatan telah berkembang kurang daripada anggaran pada suku kedua apabila eksport disemak semula berikutan persengketaan perdagangan Amerika Syarikat-China yang berpanjangan, menurut data Bank Pusat.

“Apa yang buruk untuk prospek pertumbuhan global adalah tidak baik untuk pasaran minyak pada masa ini,” kata Greg McKenna, ahli strategi di Mckenna Macro.

Rusia mahu mematuhi sepenuhnya perjanjian pengurangan bekalan minyak pada bulan September, kata Menteri Minyaknya, Alexander Novak.

Pengeluaran minyak dari OPEC naik pada bulan Ogos, kali pertama pada tahun ini berikutan lebihan bekalan dari Iraq dan Nigeria.

OPEC, Rusia dan beberapa sekutu OPEC telah bersetuju untuk mengurangkan bekalan sebanyak 1.2 juta sehari mulai 1 Januari tahun ini. – MalaysiaGazette