KUALA LUMPUR – Menjelang pembentangan Bajet 2020 yang akan dibentangkan lebih kurang lebih sebulan sahaja lagi, Teresa Kok berharap peruntukan untuk penyelidikan berkaitan kajian tentang nutrisi minyak kelapa sawit akan ditambah.
Jelas Menteri Industri Utama itu, penyelidikan yang berterusan akan mendapat input yang baharu seterusnya membantu kementeriannya menerusi ‘Kempen Sayangi Sawitku’, memberi kesedaran tentang kebaikan minyak kepala sawit di seluruh negara.
“Dalam Bajet 2020 saya harap peruntukan untuk kajian kelapa sawit akan ditambah,” katanya kepada media selepas hadir di Majlis Perasmian Label Baharu Minyak ALIF oleh Sime Darby Oils hari ini.
Teresa dalam ucapannya terdahulu menekankan kesedaran tentang kelapa sawit sepatutnya bermula dari rumah.
Selain itu katanya program di sekolah dan universiti perlu digiatkan untuk mendidik pelajar dan mahasiswa tentang kepentingan kelapa swit.
“Kita sedar untuk mengubah persepsi terhadap kelapa sawit, kita perlu mula dari rumah, objektif utama Kempen Sayangi Sawitku adalah memberi pengetahuan tentang kebaikannya kepada kesihatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette