PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menjelaskan penangguhan pengumuman Sasterawan Negara (SN) Ke-14 sebelum ini tidak mempunyai kaitan dengan sebarang isu.
Beliau berkata, walaupun atas kertas pengumuman SN sepatutnya dibuat pada bulan Julai lalu tetapi ia hanya anggaran waktu diberikan sahaja.
“Tiada penangguhan kerana waktu maklum akan umum pada Julai lalu hanya anggaran waktu,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian pada sidang media majlis pengumuman Sasterawan Negara Ke-14 di Kementerian Pendidikan di sini hari ini.
Spekulasi siapakah ahli sastera yang bakal diangkat sebagai SN ke-14 mula timbul apabila pengumuman yang sepatutnya dibuat April lalu ditangguhkan tanpa sebarang alasan.
Penangguhan itu membuka spekulasi apakah sebenarnya masalah dihadapi Dewan Bahasa dan Pustaka selaku sekretariat Anugerah Sastera Negara (ASN) dalam menobatkan Sasterawan Negara terbaharu.
Sedangkan tarikh ASN sudah pun diputuskan pada 21 September depan yang bakal disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Julai lalu, Maszlee dilaporkan berkata, akan ada kejutan besar dalam penganugerahan SN kali ini.
Sementara itu, pemilihan Siti Zainon dilihat tepat kerana mendapat pelbagai pengiktirafan sebelum ini antaranya memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) sebanyak enam kali, Anugerah Budayawan Selangor, Anugerah Tokoh Seni Budaya, Penghargaan Usaha Seni Tan Sri Fatimah-Avon dan Pingat Seri Mahkota Selangor. – MalaysiaGazette