KUALA LUMPUR – Cadangan mahu mengkaji semula had umur persaraan daripada 60 tahun kepada 65 tahun adalah satu tindakan yang terkebelakang dan tidak wajar dilaksanakan.
Untuk makluman, umur persaraan 60 tahun telah ditetapkan pada 2012 hasil pindaan pada Seksyen 4 Akta Umur Persaraan Minimun 2012.
Umur persaraan penjawat awam di negara ini dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 56 tahun pada 2001, 56 tahun kepada 58 tahun (tahun 2008) dan 58 tahun kepada 60 tahun pada tahun 2012.
Justeru, cadangan Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran mengkaji semula had umur persaraan adalah betul tetapi kurang tepat.
Ahmad Farhan Rosli, Ahli Parlimen Belia Malaysia (Kelantan) berkata, sewajarnya kerajaan mengambil langkah untuk mengkaji bagi menurunkan had umur persaraan bukannya cadangan bagi meningkatkan umur persaraan.
Ini lebih wajar kerana umur 60 tahun sudah cukup lama dan tidak lagi kompeten untuk berkhidmat.
Sekiranya umur persaraan dilanjutkan daripada 60 tahun kepada 65 tahun, perkara ini akan menyebabkan tiada orang akan bersara dalam tempoh lima tahun seterusnya akan menyebabkan tiada kekosongan jawatan bagi tempoh yang sama.
“Sebaliknya, langkah menurunkan had umur persaraan akan membuka peluang pekerjaan kepada generasi muda terutama mahasiswa yang baru menamatkan pengajian. Ini sekaligus dapat membantu mengatasi masalah pengangguran yang kian membimbangkan di negara ini.
“Selain itu, peluang untuk kenaikan dalam kalangan pegawai juga dapat dilaksanakan secara lebih tersusun. Ini disebabkan apabila ramai pegawai atasan yang pencen, ini akan membuka peluang kepada pegawai baharu bagi mengisi jawatan yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, cadangan bagi menurunkan umur pencen bukan bererti menidakkan sumbangan pekerja yang lebih senior.
Tetapi, hal ini dilontarkan bagi sama-sama memikirkan faktor keupayaan dan produktiviti mereka yang telah berumur, malah mungkin ada dalam kalangan mereka yang masih bertenaga tetapi harus juga dipertimbangkan tahap kesihatan mereka.
Justeru, tindakan menaikkan had umur persaraan pastinya menidakkan harapan anak-anak mereka bahkan mungkin cucu-cucu mereka yang sedang menunggu dengan penuh keperitan bagi mendapatkan peluang pekerjaan, tegas Ahmad Farhan.
Ujarnya, kerajaan juga wajar melaksanakan kajian menyeluruh sebelum melaksanakan apa-apa polisi termasuklah mengambil aspek kesejahteraan ekonomi, kesihatan fizikal dan mental.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Sumber Manusia, katanya, lebih wajar mengkaji mekanisma bagi memastikan janji dalam manifesto buku Harapan PRU-14 dapat ditunaikan.
Ini termasuklah penetapan gaji minimun pada kadar RM1,500 serta menyediakan satu juta peluang pekerjaan terutama buat generasi muda.
“Apa sahaja langkah kerajaan harus fokus dalam memastikan hasrat anak muda untuk menyumbang kepada negara tidak disekat,” tambah beliau. – MalaysiaGazette