Home Nasional LGE perlu buktikan barangan Bumiputera tidak berkualiti, mahal

LGE perlu buktikan barangan Bumiputera tidak berkualiti, mahal

A'zlan Abu Bakar
Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia, A'zlan Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut) mendesak Menteri Kewangan, Lim Guang Eng memohon maaf kepada peniaga dan usahawan Bumiputera sekiranya tuduhannya mengatakan barangan buatan orang Melayu itu tidak berkualiti dan mahal.

Pengerusinya, A’zlan Abu Bakar berkata, sekiranya tuduhan Guan Eng itu tidak berasas, pemimpin utama DAP itu perlu bertangungjawab dengan kenyataannya kerana tuduhannya itu telah merosakkan imej produk keluarga Bumiputera itu.

“Menteri Kewangan harus membuktikan jika benar produk Bumiputera ini harganya mahal dan tidak berkualiti.

“Seandainya kenyataan yang telah dikeluarkan itu tidak berasas, beliau hendaklah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada semua peniaga dan pengusaha produk Bumiputera.

“Ini kerana Menteri Kewangan sendiri telah merosakkan imej produk-produk Peniaga dan Pengusaha Bumiputera ini secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP itu menyifatkan kempen boikot barangan orang bukan Islam atau bukan Bumiputera adalah tidak waras dan tidak wajar.

Guan Eng berkata, kempen boikot itu boleh menjejaskan perpaduan rakyat dan negara serta merugikan kepentingan pengguna dalam mendapatkan harga dan mutu kualiti terbaik.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap gerakan memboikot barangan bukan Bumiputera atau sebaliknya adalah tindakan cetek yang hanya menimbulkan kemarahan.

Selain Guan Eng, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga perlu buka mata tentang masalah yang dihadapi oleh peniaga Melayu dan Bumiputera.

“Saifuddin harus buka mata terhadap masalah peniaga-peniaga Bumiputera dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dengan menyokong kempen ini dan mengadakan pertemuan bagi menyediakan penyelesaian terbaik.

“Saifuddin seharusnya menyedari bahawa kempen ini digerakkan berikutan nasib peniaga-peniaga Bumiputera khususnya dalam IKS ini semakin genting akibat tidak ada sokongan khusus dari pihak kementerian sendiri,” katanya.

A’zlan juga berkata, Jemaah Menteri tidak sewajarnya membuat tanggapan salah terhadap kempen membeli produk Bumiputera sebagai memboikot barangan bukan Bumiputera.

“Seandainya Guan Eng dan Saifuddin harus merujuk dan belajar menilai serta berfikir sebagai seorang menteri yang matang dan berjiwa mementingkan rakyat seperti yang ditunjukkan oleh Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

“Beliau sendiri memahami kesan baik kempen ini dengan tidak membantah usaha kempen membeli barangan Bumiputera ini apatah lagi diyakini halal oleh umat Islam di negara ini tanpa was-was,” katanya.

Katanya lagi, Tuntut menggesa kementerian berkaitan mengadakan rundingan dengan NGO-NGO yang menggerakkan kempen berkenaan agar nasib peniaga-peniaga Bumiputera diberi perhatian sewajarnya.

“Pihak kementerian sendiri perlu mengangkat kempen ini demi nasib peniaga-peniaga serta pengusaha Bumiputera agar mereka dapat terus menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette