Home Nasional TDM tubuh lembaga siasatan cari punca kejadian pegawainya mati tertembak

TDM tubuh lembaga siasatan cari punca kejadian pegawainya mati tertembak

Demonstrasi Pasukan Tentera Darat yang mengorbankan seorang anggota tentera ketika melakukan aksi demonstrasi di hadapan Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi sempena Pelancaran Divisyen Kelima Infrantri Malaysia Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi di sini hari ini. Anggota tentera yang cedera parah terkena tembakan peluru hidup itu meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu. --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan insiden kematian seorang pegawainya ketika demonstrasi keupayaan Tentera Darat sempena  perasmian acara Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia yang berlangsung di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah.

Susulan itu satu lembaga siasatan ditubuhkan untuk mengenalpasti punca kejadian malang itu.

TDM dalam satu kenyataan berkata, latihan demonstrasi keupayaan berkenaan telah dilaksanakan bermula pada 26 Ogos lalu.

Walau bagaimanapun, semasa pelaksanaan demonstrasi pada hari sebenar, telah berlaku situasi yang menyebabkan kemalangan jiwa tersebut.

Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, 36, merupakan pegawai dari pasukan 11 Rejimen Gerakhas, Kem Sungai Udang, Melaka.

BACA: https://malaysiagazette.com/2019/09/04/anak-ar-badul-meninggal-dunia-terkena-tembakan/https://malaysiagazette.com/2019/09/04/anak-ar-badul-meninggal-dunia-terkena-tembakan/

Arwah yang merupakan bapa kepada lima anak berusia antara 9 tahun hingga 5 bulan berasal dari Kuala Lumpur dan merupakan anak kepada pelakon AR Badul.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi turut menzahirkan ucapan takziah kepada balu dan keluarga wira negara ini serta menyifatkan pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan kepada TDM.

“Semoga keluarga redha dan sabar dengan ujian Allah S.W.T dan menyifatkan Allahyarham meninggal dunia dalam tugas yang besar pahalanya (syahid).

“TDM sangat menyayangi Allahyarham, namun Allah lebih menyayangi beliau,” katanya.

TDM, menurut beliau, telah membuat segala urusan pengebumian jenazah dan urusan kebajikan kepada waris mangsa.- MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

Kematian anak AR Badul, jangan buat spekulasi, kata Mohamad Sabu