KUALA LUMPUR – Peniaga-peniaga yang menyertai Halal Fiesta Malaysia (Halfest 2019) anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Pusat Pameran Mines (Miecc), Seri Kembangan berlumba-lumba menawarkan jualan harga runtuh kepada pengunjung fiesta tersebut.
Rata-rata peniaga yang mengambil bahagian menjadikan fiesta tersebut sebagai platform untuk mengenengahkan produk masing-masing kepada orang ramai meskipun ada di antaranya sudah memasuki pasaran tempatan.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, orang ramai boleh berjimat dengan berbelanja di fiesta berkenaan dan perkara paling utama ialah produk yang dijual pastinya segar dan halal.
Peserta dari syarikat Salim Sdn Bhd, Fadhilah Hanim Fakhruradzi berkata, syarikatnya mempromosikan jualan sangat murah kepada pengunjung yang datang ke gerainya sepanjang empat hari ekspo itu berlangsung.
Katanya, pengunjung boleh mendapatkan produk berunsurkan makanan sejuk beku dengan harga combo yang tidak mungkin diperoleh di pasar raya.
“Harga memang murahlah berbanding dengan pasar rayaa. Kita jual hari ni pun memang dengan harga yang istimewa.
“Antara yang kita jual ialah meat ball, daging burger, sosej, oblong dan banyak lagi.
“Pengunjung boleh bandingkan sendiri harga di pasaraya dengan harga yang dijual di sini,” katanya yang merupakan Eksekutif Halal, Melawati Kebab.
Pengurus Besar, Black Sugar Dynasty Entreprise, Khyl Lee Guan Lin berkata,
penganjuran fiesta halal seperti itu sememangnya baik kerana ia dapat memberi peluang kepada usahawan sepertinya dalam mempromosikan produk berunsurkan makanan kesihatan.
Katanya, meskipun terdapat banyak produk halal berkaitan makanan kesihatan, namun fokus utama produk keluaran syarikatnya ialah kualiti untuk kesihatan pengguna.
“Produk kami ini memang baik untuk kesihatan kerana ia tinggi kolagen. Tidak kira Melayu, Cina dan India, semua orang boleh guna.
“Kita juga sudah dapat pensijilan halal sebanyak tiga kali dan tiap-tiap tahun kami akan perbaharui,” katanya.
Bagi Pengarah Pemasaran Rehan Global Food Sdn Bhd, Miza Omar pula, menyertai fiesta tersebut secara tidak langsung dapat membuka ruang yang luas untuk beliau memasarkan produk rempah ratus syarikat perniagaan keluarganya.
“Kami keluarkan rempah ratus asli dan paste masakan. Kami menggunakan resepi turun temurun dan kami adalah generasi yang ketiga.
“Kami ada jual rempah rendang Rembau yang sangat istimewa di Negeri Sembilan, serta paste kari, soto, sup dan serbuk serbaguna.
“Semua barang yang kami jual boleh diibaratkan seperti memasak campak-campak dan siap,” ujarnya.
Katanya lagi, hasratnya menyertai fiesta tersebut adalah kerana ingin menonjolkan keistimewaan makanan Negeri Sembilan yang mempunyai sembilan daerah dengan makanan yang berbeza.
Sementara itu, Pengurus Besar Marhas Trading PakChips, Mardhiah Lin Abdullah berkata, dia menjual produk berasaskan snek yang sangat sihat tidak seperti makanan ringan yang dijual diluar.
Katanya, pengunjung boleh membeli makanan ringan iaitu kerepek pisang dan kerepek nangka dengan harga lebih rendah berbanding harga jualan biasa.
“kebiasaanya produk seperti ini dihasilkan dari Vietnam tetapi kami pengeluar produk Malaysia yang menjual makanan ini tanpa ada campuran bahan-bahan pengawet.
“Kami sediakan 50 karton makanan ringan ini sepanjang empat hari fiesta ini berlangsung. Tapi sasaran kami ialah 100 karton.
“Kami juga mengalu-alukan sekiranya ada yang berminat untuk menjadi ejen,” katanya.
Halfest 2019 berlangsung di Miecc dari 4 hingga 8 September dengan penyertaan lebih 450 usahawan dan lebih 500 ruang pameran menyajikan pelbagai produk halal berkualiti tinggi kepada pengunjung.
Sektor yang diketengahkan sepanjang Halfest Jakim 2019 antaranya makanan,minuman, perbankan islam,takaful, pelaburan patuh syariah, pembungkusan makanan halal, katering, perkhidmatan status halal dan badan keusahawanan.
Ekspo itu dijangka dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail esok. – MalaysiaGazette