Home Sukan Alasan gimnastik wanita beraksi ghairah tak masuk akal – MSN

Alasan gimnastik wanita beraksi ghairah tak masuk akal – MSN

Ketua Pengarah Majils Sukan Negara, Ahmad Shapawi Ismail.

KUALA LUMPUR – Kerisauan kerajaan Terengganu terhadap cara pemakaian gimnastik wanita dan gimrama telah memberi risiko terhadap masa depan atlet berkenaan yang berpotensi mengharumkan nama negara di pentas sukan antarabangsa.

Itu reaksi Majlis Sukan Negara (MSN) ekoran keputusan kerajaan negeri itu yang menarik diri dari menyertai sebarang acara dalam sukan gimnastik wanita dan gimrama kerana didakwa mengeksploitasi serta mempamerkan aksi ghairah wanita.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, isu pemakaian sukan khususnya bagi sukan-sukan yang melibatkan pendedahan aurat bukan sahaja pernah dibincangkan beberapa kali sebelum ini malahan dibawa sehingga ke peringkat parlimen.

“Malah, kerajaan Terengganu beranggapan bahawa kemahiran dan teknik yang ditonjolkan dalam sukan gimnastik dan gimrama sebagai ‘aksi yang boleh mendatangkan ghairah kepada kaum lelaki’ adalah satu kenyataan tidak logik yang tidak harus diterima.

“Sukan adalah pentas para atlet negara mempamerkan disiplin diri dan semangat kesukanan yang tinggi, demi cita-cita untuk mengibarkan Jalur Gemilang di mata dunia.

“Maka, takrifan ‘ghairah’ itu tidak pernah wujud dalam arena gimnastik dan gimrama dan ia tidak harus dijadikan asas dalam dasar pembangunan sukan,” katanya dalam kenyataan tersebut hari ini.

Justeru itu, kata Ahmad Shapawi, beberapa jenis sukan tertentu yang secara asasinya menampilkan pemakaian sedemikian  adalah terpulang kepada individu yang terlibat dalam sukan tersebut untuk mempraktikkannya atau tidak – selagi tidak menyalahi peraturan sukan antarabangsa atau boleh menyebabkan risiko keselamatan kepada atlet.

Tambah beliau, sekiranya individu tersebut menganggap pemakaian pakaian tersebut menyalahi syariah, maka individu itu mempunyai pilihan untuk tidak terlibat dalam sukan tersebut atau boleh berkompromi dan memakai pakaian yang mengikuti syariah.

Sehubungan itu, beliau berpandangan adalah tidak wajar dibangkitkan isu pemakaian tersebut dan mungkin amat malang sekali jika cadangan kerajaan Terengganu juga akan terpakai kepada yang bukan beragama Islam kerana sukan tidak patut digunakan bagi menyekat kebebasan mereka.

“Seperti mana kita tidak mengharamkan pemakaian sebegitu rupa kepada pelancong-pelancong asing dan bukan Islam yang begitu ramai mengunjungi pulau-pulau cantik di negeri Terengganu dan bebas dilihat oleh masyarakat Islam di pulau-pulau tersebut.

“Kami menghargai usaha Kerajaan Terengganu mencari solusi pemakaian sukan yang bersesuaian kepada masyarakat Islam sepertimana tuntutan syariah dan saya akui bahawa agama merupakan aspek penting di konteks Malaysia.

“Tetapi tidak wajarlah untuk kerajaan Terengganu mengenakan polisi ini kerana isu pemakaian adalah hak peribadi setiap individu serta keputusan untuk memilih sukan-sukan tertentu sedangkan sukan-sukan yang lain juga bukan sahaja kepada atlet wanitanya malahan atlet lelakinya juga terdedah kepada pemakaian yang tidak mengikut syariah seperti renang, terjun, olahraga dan sukan popular bolasepak juga,” ujarnya lagi.

Katanya, apa yang mengelirukan lagi adalah Terengganu sebelum ini dan pada masa akan datang akan menghantar pasukan renang dan terjun mereka ke SUKMA dan kejohanan-kejohanan yang lain sedangkan sukan-sukan tersebut juga menonjolkan etika pemakaian menjolok mata seperti yang didakwa oleh negeri Terengganu.

“Terengganu sememangnya amat jarang menyertai sukan gimnastik wanita dan gimrama dalam mana-mana kejohanan di peringkat sekolah mahupun di peringkat SUKMA dan kebangsaan.

“Kalau adapun ialah semasa SUKMA Perlis 2014 di mana pasukan gimrama Terengganu adalah gimnas-gimnas import dari negeri yang lain.

“Sementara bagi sukan gimnastik wanita, pasukan Terengganu turut menyertai acara gimnastik wanita di SUKMA Perak 2018 yang lalu menampilkan enam gimnas negeri terdiri dari empat gimnas beragama Islam dan dua gimnas bukan beragama Islam.

“Saya tidak pasti kenapa kenyataan tersebut dikeluarkan pada ketika ini sedangkan sukan merupakan satu elemen yang sepatutnya menyatukan rakyat yang berbilang bangsa dan agama,” katanya.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. ikut syariah perempuan tak payah bersukan lah . ambil bahagian2 yang sesuai syariah je. mengail botol ke. lari dalam guni ke. ……..

Comments are closed.