KOTA KINABALU – Hadirin termasuk media yang menyaksikan pelancaran Divisyen Kelima Infantri dan Briged ke-13 Infantri di Kem Lok Kawi dekat sini, pagi tadi tidak menyangka acara demonstrasi di majlis itu berakhir dengan tragedi meragut nyawa seorang pegawai komando.
Seperti yang diumumkan oleh pengacara majlis, aksi gimik itu menyaksikan pertembungan antara ‘kumpulan pengganas’ dengan tentera menggunakan peluru hidup merupakan acara akhir pada majlis tersebut bagi menunjukkan anggota pasukan keselamatan menumpaskan kumpulan pengganas.
Kesemua mereka memakai jaket kalis peluru semasa melakonkan aksi-aksi tersebut.
Pegawai Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas Mej Mohd Zahir Armaya memainkan peranan sebagai ‘ketua kumpulan pengganas’ dalam demonstrasi tersebut.
Bernama yang membuat liputan acara pelancaran itu melihat gimik dengan Mohd Zahir secara berhadapan melepaskan sedas tembakan menggunakan pistol terhadap seorang pegawai tentera menyebabkan pegawai tentera itu dilihat menahan kesakitan dan berlutut.
Selepas itu, pegawai berkenaan bangun semula dan melepaskan sedas tembakan menggunakan pistol ke arah Mohd Zahir yang berdiri dalam jarak dekat secara membelakang dengan sasaran satu botol berisi cecair merah di jaket kalis peluru dipakai Mohd Zahir.
Tembakan itu menyebabkan Mohd Zahir terus rebah dan tidak bangun semula lalu dua anggota tentera menariknya ke tepi padang kawad.
Mohd Zahir kelihatan tidak sedarkan diri dan dipercayai mengalami kecederaan serius.
Anggota perubatan tentera yang berada di majlis pelancaran itu kemudian memberi rawatan awal sebelum mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) 1 Kota Kinabalu.
Mohd Zahir disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.20 pagi di hospital itu.
— BERNAMA