Home Politik Syor pengambilalihan pendaftaran parti politik oleh SPR siap akhir tahun

Syor pengambilalihan pendaftaran parti politik oleh SPR siap akhir tahun

Abdul Rashid Abdul Rahman

KUALA NERUS – Laporan lengkap berhubung cadangan pengambilalihan pendaftaran dan kawal selia parti politik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dijangka siap akhir tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan secara rasmi kepada kerajaan sejurus selepas laporan itu siap.

Cadangan itu dibuat memandangkan SPR adalah badan bebas yang tidak dikuasai mana-mana parti politik, namun kerajaan berhak membuat penilaian sewajarnya.

“ERC sedang sediakan laporan dan perakuan supaya pendaftaran parti politik dibuat oleh SPR dan ia sudah tidak lama lagi iaitu akhir tahun ini.

“Jika kerajaan terima cadangan ini maka tanggungjawab itu akan dipindahkan kepada SPR dan ia lebih telus kerana ROS ini adalah organisasi di bawah kerajaan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Libat Urus ERC Peringkat Negeri Terengganu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini.

Terengganu adalah destinasi kedua terakhir sebelum Selangor bagi jelajah program Libat Urus ERC yang dijalankan di seluruh negara sejak tahun lepas.

Dalam perkembangan lain, Ab Rashid yang juga bekas pengerusi SPR berpendapat tiada keperluan untuk kerajaan membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan semula seperti yang ditimbulkan segelintir pihak.

Menurut beliau situasi politik pada masa ini adalah stabil dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) wajar meneruskan pentadbiran sehingga akhir penggal.

“Saya ikuti politik hari ini dengan rapat dan lihat tidak ada apa-apa masalah yang memerlukan kerajaan bubarkan Parlimen atau minta mandat baharu.

“Jadi kerajaan perlu habiskan pentadbiran sehingga akhir penggal dan lepas itu baru adakan pilihan raya,” katanya.- BERNAMA

1 Komen

  1. itu cadangan orang yang kurang akal. dia tiada kira lain dalam hidup ni . cuma mengundi dan mengempin. tapi kalau parti politik dibawah spr memang sesuailah.

Comments are closed.