Home Nasional ATM harus hentikan demonstrasi guna peluru hidup – Veteran ATM

ATM harus hentikan demonstrasi guna peluru hidup – Veteran ATM

Huan Cheng Guan

KUALA LUMPUR – Insiden yang meragut nyawa pegawai tentera, Mejar Mohd Zahir Armaya ketika melakukan demonstrasi keupayaan sempena penubuhan Divisyen Kelima Infantri Malaysia pagi semalam sungguh tragis dan sangat mengelirukan.

Bekas veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Datuk Huan Cheng Guan berkata, beliau bukan sahaja terkilan dengan kejadian itu, sebaliknya terkejut dan bimbang apabila mendengar berita mengejutkan itu.

Cheng Huan menjelaskan, walaupun latihan seumpama itu untuk menyediakan anggota pasukan dengan situasi sebenar berperang selain membina kecekalan, keyakinan dan keberanian sebelum memasuki medan peperangan namun masih wujud beberapa perkara yang mengelirukan dan perlu disiasat.

“Setiap tembakan yang dilepaskan akan dipastikan selamat dan menuju kepada baju kalis peluru yang dipakai

“ATM seharusnya segera menghentikan demonstrasi sebegini khasnya menggunakan peluru hidup kerana tidak ada jaminan 100 peratus penembak akan kena sasaran.

“Malah siasatan mesti dilakukan dengan terperinci kerana hairan bagaimana peluru itu boleh menembusi baju kalis peluru yang dipakai mangsa.

“Memang benar kerajaan telah keluarkan kenyataan jangan buat kenyataan spekulasi tetapi kita sebagai anggota pastinya amat terasa sebenarnya. Tolong siasat bagaimana ‘vest’ kalis perlu boleh tembus dan bocor.

“Siasat sama ada insiden ini berlaku kerana ‘teknikal’ atau salah laku.

“Semua mesti disiasat termasuk semua baju kalis peluru yang ada dalam tentera juga minta siasat adakah demonstrasi sebegini adalah sebahagian program rasmi ATM,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Cheng Guan yang juga Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) juga melahirkan takziah kepada keseluruhan keluarga Allahyarham  juga pegawai komando 11 Rejimen Gerak Khas.

“Seluruh rakyat Malaysia khasnya veteran-veteran tentera merasa simpati dan dukacita dengan kejadian, semoga keluarga mereka dapat bertabah menghadapi situasi paling getir dan kami semua bersama kalian.

“Memandangkan arwah juga merupakan bapa kepada lima orang anak yang masih kecil, saya mohon kebajikan anak-anak dan isteri arwah perlu dikaji keperluan sepenuhnya serta tidak hanya semata-mata bayaran insuran kelompak. Mohon ambil perhatian,” ujarnya.

Semalam ketika acara pelancaran Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia, Tentera Darat Malaysia (TDM), di Kem Lok Kawi, Sabah, semonstarsi bertukar tragedi apabila salah seorang pegawai yang melakukan gimik ketika demonstrasi keupayaan maut terkena tembakan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.40 pagi apabila mangsa berlakon sebagai pengganas sambil memakai baju kalis peluru dan ditembak.

Tembakan itu menyebabkan mangsa rebah berlumuran darah sebelum diberi bantuan kecemasan oleh anggota tentera lain dan dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans.

Mangsa merupakan anak pelakon terkenal, AR Badul yang redha dengan insiden mengejutkan itu.

Jenazah Mohd Zahir selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, di Ipoh, pukul 8.20 pagi ini. –MalaysiaGazette