SUBANG JAYA – Ramai pengguna termasuk penanam kelapa sawit di negara ini tidak tahu kelebihan minyak sawit disebabkan tidak ada usaha mempromosi oleh kerajaan terdahulu.
Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, beliau terkejut apabila pengguna bertanyakan apakah kelebihan menggunakan minyak sawit, termasuk penanam sendiri tidak tahu khasiat minyak sawit merah.
“Apabila saya mengambil alih kementerian ini, saya turun ke bawah, saya terkejut rakyat tanya di mana nak beli minyak sawit.
“Begitu juga apabila saya mengadakan perjumpaan dengan penanam kelapa sawit, mereka tidak ada pengetahuan mengenai kelebihan minyak sawit dan bertanya minyak sawit merah boleh makan atau tidak.
“Saya terkejut, sedangkan minyak ini baik untuk kesihatan. Maka, saya terpaksa buat penjelasan kepada mereka,” katanya berucap pada majlis pelancaran Kolaborasi Kempen Sayangi Sawitku bersama Mydin Mohamed Holding Berhad di Mydin Wholesale Hypermarket di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin.
Menurut Teresa, apa yang dikesalkan, apabila beliau mengadakan lawatan ke luar negara, kerajaan negara yang dilawati itu lebih mengetahui mengenai sawit berbanding rakyat negara ini.
Beliau turut menjelaskan, kerajaan Malaysia ketika ini sedang menghadapi perang persepsi dengan beberapa negara lain yang menjalankan kempen anti sawit.
Negara itu, katanya termasuk India dan China, manakala Indonesia pula begitu aktif melarang rakyatnya membeli minyak dan produk berasaskan minyak sawit dengan menjalankan kempen ‘Tiada Minyak Sawit’ di pasar raya negara itu.
“Persepsi negatif ini telah mula merebak masuk ke India dan China. Kita berdepan dengan masalah dan memerlukan masa agak lama untuk melawan persepsi negatif ini.
“Saya mengajak rakyat Malaysia, dengan bantuan beberapa kementerian berkaitan untuk bersama kerajaan melawan persepsi negatif ini dengan melancarkan kempen Sayangi Sawitku.
“Kempen ini akan berterusan sehingga pihak berkenaan sedar akan kepentingan dan kelebihan minyak sawit,” katanya. – MalaysiaGazette