Home Nasional Suspek kes MH17 bebas dengan jaminan

Suspek kes MH17 bebas dengan jaminan

KUALA LUMPUR– Mahkamah Ukraine hari ini membebaskan dengan jaminan seorang suspek yang terlibat dalam insiden melibatkan pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh pada 2014.

Menurut hakim, suspek Volodymyr Tsemakh yang dikenal pasti sebagai bekas komander tentera puak pemisah Ukraine patut dibebaskan segera sementara menantikan siasatan selesai.

Dalam kejadian pada 17 Julai 2014 itu, sebuah pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 298 penumpang dan anak kapal telah berlepas dari Amsterdam menuju Kuala Lumpur sebelum ditembak jatuh di Donetsk, Ukraine.

Sebuah pasukan penyiasat bersama yang diketuai oleh Belanda (JIT) merumuskan pesawat Malaysia itu telah ditembak oleh peluru berpandu anti-pesawat milik puak pemisah pro-Rusia di zon konflik antara Rusia dan Ukraine.

Dalam perkembangan berbeza, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melahirkan rasa sangsi beliau terhadap beberapa penemuan yang dibuat oleh JIT.

Dalam temubual beliau bersama agensi berita Sputnik yang berpangkalan di Moscow, Rusia, Dr. Mahathir berkata, terdapat beberapa penemuan oleh JIT yang kelihatan ‘tidak kena’.

“Saya tidak meragui kebenaran mereka tetapi ada beberapa perkara yang mereka dakwa, sukar untuk kita terima.

“Mengenal pasti misil- ya. Kawasan kejadian- itu boleh disahkan tetapi mengenal pasti tembakan sebenar, oleh siapa (yang menembak) sangat sukar untuk dipastikan dalam keadaan tersebut,” katanya.

Agensi tersebut melaporkan, Mahathir berkata, bukti-bukti yang ada masih tidak mencukupi untuk menyalahkan Rusia kerana menembak pesawat milik Malaysia Airlines itu.

“Ya, saya sangsi (Rusia bersalah). Tetapi saya tidak mempunyai sanak saudara yang terbunuh dalam insiden tersebut.

“Saya tidak mempunyai hak untuk membuat sebarang tuntutan insurans.

“Saya hanyalah seorang pemerhati luar dan terdapat beberapa penemuan yang dibuat oleh JIT tidak kena pada pandangan saya dan ramai rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Dr. Mahathir kini sedang berada di Vladivostok bagi menghadiri Forum Ekonomi Timur.- MalaysiaGazette