Home Nasional Anwar jawab sindiran PapaGomo mengenai sakit belakang

Anwar jawab sindiran PapaGomo mengenai sakit belakang

Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media selepas menghadiri Simposium Ekonomi Malaysia 'Kini dan Masa Depan' di Dewan Persidangan Parlimen, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 26 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Susuk tubuh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lincah bermain bola bersama cucu-cucunya di Port Dickson mendapat perhatian Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo.

Dalam satu komen PapaGomo bernada sinis bertanyakan mengenai kesihatan tulang belakang Anwar yang dilihat sudah sembuh.

“Hebat sekarang semua dah pulih. Sakit tulang belakang sejak tahun 1998 hingga 2018. Masuk 2019 dah sihat tanpa sebarang kesan sampingan. Handal,” komen PapaGomo di Instagram Anwar Ibrahim.

Umum mengetahui bahawa Anwar pada Jun tahun lalu dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) ekoran kecederaan tulang belakang yang dialaminya.

Beliau sebelum ini dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit di bahu kanan dan bahagian belakang selepas kembali dari lawatannya ke Turki.

Menjawab komen PapaGomo, Anwar berkata, beliau berterima kasih kepada semua pakar-pakar yang merawat beliau selepas menjalani pembedahan tahun lalu.

“Bukan saya yg handal. Yg handal adalah ahli2 bedah, ahli fisioterapi, jururawat dan lain-lain yang membantu saya setelah menjalani pembedahan pada tahun 2018. Alhamdulillah semakin sihat,” jawab Anwar.

Pada Julai tahun lalu, Anwar selamat menjalani pembedahan tulang belakang di Turki dan akan menjalani pembedahan lain di bahu kanannya.

Anwar menang kes samannya terhadap Papagomo pada 28 Februari 2014 dan dikurniakan ganti rugi RM800,000 serta RM50,000 kos.

Beliau yang ketika itu Ketua Umum Pakatan Harapan memfailkan saman RM100 juta kerana mendakwa Papagomo menyiarkan siri muat naik fitnah di laman blognya pada Mac 2013. -MalaysiaGazette