KUALA LUMPUR – Kerajaan sepatutnya tidak menggunakan alasan penjimatan untuk menhghapuskan skim pencen perkhidmatan awam.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebaliknya kerajaan sepatutnya memperbaiki sistem cukai yang regresif dan mundur ke belakang seperti cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang merugikan negara puluhan bilion ringgit.
“Kerajaan sepatutnya berhenti membiakkan ‘black economy’, pelarian dan ketirisan cukai serta pengaliran wang ke luar negara.
“BERHENTILAH DARI TERUS MEMBUAT PRESKRIPSI YANG SALAH…apalagi terus menerus memangsakan institusi dominan anak watan dan Bumiputera yang jujur dan setia berkhidmat,” katanya dalam laman Fecebook milik beliau.
Annuar berkata, kerajaan hendaklah berhenti dari menjadikan Perkhidmatan Awam sebagai scapegoats atau kambing hitam dan tidakĀ memangsakan mereka yang tidak bersalah untuk menutup kesalahan diri sendiri.
Menurutnya, perkhidmatan awam boleh ditingkatkan dengan menghentikan campurtangan politik selain memberi mereka penghormatan, pengiktirafan dan motivasi serta memodenkan khidmat dengan latihan, inovasi serta dana yang mencukupi.
Tambah beliau, perkhidmatan awam adalah antara yang UMNO perjuangkan sejak sebelum merdeka dan negara mengambilnya kembali dari penjajah Inggeris.
“Kita pasak ia dalam Perlembagaan negara. Ia sebahagian dari hak istimewa kita,” ujarnya sambil menambah ia harus diperkaya dan diperkukuhkan dan Bukan dilemah atau diperkecilkan.
Annuar berkata, apa yang perlu dilakukan ialah bukan mengecilkan perkhidmatan awam tetapi peningkatan produktiviti dan keberkesanan khidmat mereka.
Beikutan itu, katanya, dalam keadaan khidmat kepada rakyat semakin lemah, tindakan Kerajaan Pakatan Haraman untuk menhghapuskan skim pencen perkhidmatan awam adalah umpama tikus membaiki labu. – MalaysiaGazette