CYBERJAYA – Anda sakit lutut? Itu bukan sesuatu yang luar biasa.
Penyakit sendi lutut kini menjadi sebahagian daripada masalah kesihatan masyarakat moden terutama mereka yang berusia 40 tahun ke atas.
Dikenali penyakit radang rawan sendi lutut atau osteoarthritis, ia juga sering menimpa golongan wanita akibat perubahan hormon selain individu yang terlalu aktif bersukan atau aktiviti lasak.
Apabila keadaan ini terjadi, tentunya mereka yang menanggung sakit lutut ini akan melakukan pelbagai cara pelbagai cara akan dibuat untuk mengurangkan kadar kesakitan. Jika tidak, pasti akan menjejaskan pergerakan harian, kerana lutut merupakan bahagian penting untuk melancarkan urusan harian.
Apabila ubat, makanan tambahan dan suntikan gel pelincir tidak berkesan, kemuncaknya, lutut perlu dibedah yang menelan kos lagi tinggi dan lebih teruk mungkin diganti dengan lutut palsu.
Teknologi moden menawarkan satu lagi pilihan kepada mereka yang menderita sakit lutut baik kerana osteoarthritis mahu pun kecederaan akibat bersukan.
Rawatan plasma kaya darah atau platelet rich plasma (PRP) yang semakin diminati menjadi trend terkini kerana kos yang lebih murah jika dibandingkan dengan rawatan rehabilitasi dan pembedahan.
MalaysiaGazette sempat menemui Pengarah Perubatan The Cyber Skyclinic, Dr M Afiff Farhan untuk mengetahui lebih lanjut tentang rawatan suntikan PRP.
Menurutnya, PRP lebih selamat dan efektif kerana menggunakan darah sendiri berbanding suntikan steroid dan ubat penahan sakit.
“Rawatan PRP ini memerlukan pengambilan darah dan kemudian dilakukan pengasingan plasma yang digunakan untuk rawatan regeneratif, antiradangan serta penghasilan tisu baharu yang sihat.
“PRP yang telah diasingkan akan disuntik semula kepada bahagian lutut yang bermasalah. Rawatan ini juga selamat, tidak menyakitkan dan cepat serta tempoh penyembuhannya juga singkat.
“Risiko alahan tidak akan berlaku kerana rawatan ini juga tidak menggunakan bahan lain selain darah sendiri,” katanya ketika ditemubual MalaysiGazette.
Afiff yang merupakan lulusan perubatan dari The Kursk State Medical University, Russia menambah, tubuh manusia memerlukan platelet untuk membaik pulih tisu badan yang rosak.
Jelas beliau, ini kerana platelet kaya dengan kandungan pertumbuhan dan penyembuhan tisu.
Oleh itu katanya, tubuh secara semulajadi akan menghantar platelet ke bahagian tisu yang cedera untuk memulakan proses penyembuhan.
“Justeru, rawatan PRP adalah sangat berkesan untuk merawat tisu yang rosak.
“Dengan menyuntik ejen pertumbuhan dan penyembuhan daripada PRP ke tempat yang cedera seperti tendon, ligamen dan sendi tubuh akan memulakan proses penyembuhan secara semulajadi.
“Tahap kepekatan yang tinggi dalam PRP akan mempercepatkan proses tersebut,” katanya lagi.
Dr Afiff berkata, PRP merupakan alternatif kepada perubatan moden yang boleh mengurangkan ‘penderitaaan’ pesakit lutut.
Klinik tersebut telah beroperasi sejak 2017 dan memiliki seramai tiga doktor pakar dalam bidang masing-masing. – MalaysiaGazette