Home Nasional Rakam bawah skirt pelanggan, pekerja kedai haiwan peliharaan didenda RM100

Rakam bawah skirt pelanggan, pekerja kedai haiwan peliharaan didenda RM100

Mahkamah Tinggi menolak permohonan ikat jamin dikemukakan ahli DAP, V. Suresh Kumar, yang menghadapi pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE.
PETALING JAYA – Akibat merakam bawah skirt seorang pelanggan, seorang pekerja kedai haiwan peliharaan dijatuhi hukuman denda maksimum RM100 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhi hukuman itu terhadap Choo Kok Fai, 24, selepas lelaki itu mengaku bersalah berkelakuan aib dengan cara merakam dari arah bawah skirt seorang wanita berusia 38 tahun menggunakan telefon bimbitnya.

Mengikut fakta kes, ketika mangsa sedang berada di kaunter pembayaran premis tersebut dia mendapati tertuduh sedang berada di belakangnya sambil memegang telefon dan merakam bahagian bawah skirt yang dipakainya.

Mangsa yang berang kemudian merampas telefon tersebut dan bertindak memadam gambar-gambar yang telah dirakam sebelum melaporkan perbuatan itu kepada pihak polis.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai haiwan peliharaan di Bandar Sunway, di sini, pada 6.15 petang, 4 Sept lepas mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1956 yang membawa hukuman denda maksimum RM100.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran, bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Datuk Suraj Singh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah insaf selain tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Di mahkamah sama, tiga rakan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mungkin menyebabkan kematian tanpa niat salah seorang rakan mereka di kawasan parkir di hadapan sebuah pangsapuri, Oktober tahun lepas.

S. Murugiah, 42; M. Denesh, 25 dan L. Rubinderan, 19, didakwa bersama-sama telah mungkin menyebabkan kematian tanpa niat terhadap M. Dharma Dass, 43, di bahagian parkir di hadapan Blok G, Jalan PJU 1A/46, Taman Putra Damai, Lembah Subang, Kelana Jaya, dekat sini pada 6.30 pagi, 25 Okt 2018.

Pendakwaan mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mohammad Fakhrurrazi menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali.

Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan mereka penanggung utama keluarga selain tidak mampu membayar jaminan yang tinggi.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali dan menetapkan 14 Okt untuk sebutan semula kes.

— BERNAMA