Home Politik Hanya promosi produk Muslim, kenapa DAP dengki?

Hanya promosi produk Muslim, kenapa DAP dengki?

Dr. Fathul Bari Mat Jahya

KUALA LUMPUR – Tindakan Lim Guan Eng memfitnah dengan menuduh UMNO-Pas menyeru bumiputera memboikot produk bukan bumiputera menunjukkan beliau sebenarnya sedang meniup api perkauman dan kebencian.

Walhal, mempromosikan produk Muslim bukan bererti memboikot produk bukan bumiputera, sebaliknya ia bertujuan membangkitkan semangat bersaing secara sihat.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, sudah puluhan tahun Melayu bumiputera membantu ekonomi bukan bumiputera, kini tiba masanya membantu bumiputera pula.

“Adakah menjadi satu kesalahan Melayu membantu Melayu dalam meningkat penglibatan industri peruncitan/perniagaan?,” soalnya.

Tambah beliau, Guan Eng pernah mengeluarkan kenyataan pada tahun 2012 bahawa bangsa Cina di Malaysia adalah pembayar cukai yang terbesar.

“Jadi, apa masalahnya jika mempromosikan produk bumiputera supaya bumiputera juga menjadi penyumbang besar kepada pendapatan negara.

“Kenapa kamu dan DAP mendengki?,” tanya Fathul Bari lagi.

Menurut beliau, sejak dahulu lagi kedai-kedai runcit bukan Muslim di kampung-kampung Melayu lebih ramai pengunjung berbanding kedai Muslim.

“Apa yang merisaukan saya bukan soal urus niaga Melayu bumiputera, Cina dan India, tetapi “urus niaga” kotor yang dimainkan oleh bangsa DAP dalam memecahbelahkan rakyat Malaysia.

“Apabila DAP sering membangkitkan isu-isu sensitif perkauman dan agama khususnya isu Islam, Melayu dan bumiputera, apa yang DAP harapkan? Nak supaya kami diam? Nak kami tunduk dan patuh membuta tuli? Nak kami layan kesemua tuntutan-tuntutan mengarut DAP? Nak kami kata: inilah Islam rahmatan lil alamin? Nak kami seru rakyat, sabarlah dan teruslah sokong DAP? Kegilaan apakah ini?,” ujarnya.

Menurut beliau, sebenarnya apa yang sedang berlaku sekarang adalah respon balas rakyat yang berlaku secara natural hasil daripada agenda jahat DAP.

Lantaran itu, beliau menasihatkan orang-orang Melayu, Cina, India dan lain-lain jangan mudah terpedaya dengan permainan perkauman yang dimainkan DAP.

Katanya, selama ini kita hidup dalam suasana aman dan sejahtera dengan isu-isu perkauman diurus dengan baik walaupun ada kelemahan manusiawi.

Tapi, hari ini segala-galanya berubah hanya kerana 42 kerusi yang mendominasi Kerajaan PH sehingga menteri-menteri kecut dan tak berani bersuara.

“Saya kasihan melihat keadaan YAB Tun Mahathir Mohamad yang jelas dikhianati oleh DAP. Harapkan menteri-menteri melayu Islam, tapi sayangnya mereka lebih hormat DAP daripada YAB PM.

“Oleh itu, saya harap peniaga-peniaga bumiputera dan bukan bumiputera dapat bekerjasama membantu memberi tekanan kepada DAP agar menghentikan isu-isu perkauman yang akhirnya akan merencat perkembangan ekonomi negara,” katanya.

Ini kerana, jika isu-isu sensitiviti perkauman terus dimainkan oleh DAP, maka ia akan mengheret kita kepada keruntuhan dan perpecahan yang merugikan. – MalaysiaGazette