INSIDEN yang melibatkan kematian Mej Zahir amat menyedihkan namun harus diterima dengan redha. Ramai yang mengkritik dengan memberi komen-komen negatif yang mengguris hati.
Namun doa-doa yang disampaikan amat menusuk kalbu dan berharap semoga semua doa-doa tersebut dimakbulkan dan diterima oleh Allah SWT.
Cuma ingin saya kongsikan di sini, bahawa masalah dengan orang awam ni mereka tahu komen saja, tetapi mereka tidak faham langsung dengan peranan dan tanggungjawab tentera, lebih-lebih lagi Komando. Sebab itu ada antara mereka yang anggap tentera hanya makan dan tidur – tidak ada kerja lain.
Bila berlaku insiden macam ini, mereka anggap satu lakonan pula, sedangkan demonstrasi adalah sebahagian daripada training yang perlu dibuat rehearsal beberapa kali sebelum dipamerkan.
Apa yang berlaku, bukan orang awam sahaja yang tak faham malah ramai veteran dan anggota tentera sendiri juga tidak faham. Namun, saya tidak salahkan mereka (awam dan sesetengah veteran) kerana mereka (mungkin) tidak pernah terdedah dengan pertempuran atau berada di kawasan pertempuran ataupun terlibat dengan latihan khusus pasukan Komando/GGK sebelum ini.
Diakui ramai yang tidak tahu bahawa peranan dan tugas Komando memerlukan tahap keberanian dan pengorbanan tinggi yang di luar kemampuan manusia biasa. Untuk mencapai tahap itu, ianya memerlukan latihan yang berterusan secara mental dan fizikal hingga ke tahap extreme.
Jika tidak, (contoh) kamu tidak akan mampu masuk ke dalam bilik untuk menyelamat tebusan yang dikawal ketat oleh pengganas bersenjata bersama letupan yang sedang menanti untuk membunuh kamu.
Kamu juga tidak akan mampu untuk menyusup masuk ke dalam sasaran musuh yang hanya menjanjikan peluang tipis untuk kamu keluar dengan selamat/hidup. Kamu juga tidak akan berani untuk berenang di lautan bergelora dan juga terjun di aras tinggi di malam gelap gelita. Kdo memerlukan latihan-latihan khusus sebegini (banyak lagi) untuk berjaya dalam misi dan juga yang akan menentukan hidup atau mati.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa kemalangan ada kalanya berlaku sewaktu latihan/operasi walaupun berbagai langkah keselamatan telah diambil. Sama seperti latihan payung terjun, walaupun 99% payung dijamin kembang, tetapi ada juga yang jatuh terhempas ke bumi menemui maut disebabkan teknikal pada payung atau insiden di udara.
Begitu juga dengann insiden tertembak, ada yang berlaku tetapi peratusannya adalah tersangat kecil. Peratusan kecil ini menunjukkan nyawa dan keselamatan adalah keutamaan kami. Namun, takdir dan kelemahan manusia adakalanya di luar kawalan kita.
Memang ada yang mengatakan bahawa insiden yang berlaku boleh dielakkan, berlaku kerana kesalahan pemimpin, latihan bodoh, bebal dan sebagainya. Tetapi ketahuilah itulah kami (Komando), yang tidak ramai mahkluk lain mengetahui dan memahaminya.
Ini adalah antara latihan extreme yg kami perlu laksanakan untuk mendapatkan kemahiran, keyakinan serta jati diri yang tinggi sebagai anggota Komando.
Cuma selama ini latihan kami adalah tertutup dan tidak ramai yang mengetahuinya kerana kami tahu, orang awam selamanya tidak akan faham dengan apa yang kami lakukan, tujuan serta sebabnya. Ingin saya nyatakan di sini, bahawa latihan menggunakan peluru hidup dan peluru latihan memberi kesan yang jauh berbeza kepada psikologi manusia.
Ramai orang yang bersedia untuk melaksanakan latihan pertempuan rapat atau secara berhadapan menggunakan peluru latihan. Namun hanya golongan tertentu sahaja yang bersedia untuk menggunakan peluru hidup bagi latihan pertempuran sebegitu. Memang sedih kehilangan anak buah, rakan seperjuangan dan juga seorang pegawai yang berwibawa seperti arwah Mej Zahir.
Namun, itulah liku-liku hidup kami sebagai anggota Komando yang sentiasa bersedia untuk bergadai nyawa demi kesejahteraan, keamanan, keselamatan dan kedaulatan negara Malaysia tercinta ini.
Memang mudah untuk elakkan bahaya, iaitu dengan tidak melakukannya. Tetapi kami ada integriti, amanah dan peranan serta tanggungjawab yg perlu dipertahankan.
Tanggungjawab kami bukan untuk makan dan tidur, dan bukan juga untuk mengambil alih kerja pekerja asing. Kewujudan kami adalah untuk mempertahankan bumi tercinta ini dengan darah dan nyawa kami serta bersedia untuk melaksanakan apa juga misi yg diarahkan.
Untuk itu, latihan adalah penentu kejayaan dan ianya wajib dilaksanakan walaupun terdapat insiden yg meragut nyawa. Namun, saya juga tidak salahkan sesiapa juga yang mengkritik atas insiden yang berlaku kerana saya faham akal biasa mereka tidak akan tercapai ke tahap kefahaman sebenar, kerana hanya anggota Green Beret dan juga anggota yang pernah berkhidmat dengan unit Kdo sahaja yang dapat memahaminya.
Kerana itu, tidak hairan bila ramai yang mengkritik dan menghentam Kdo pada suatu masa dahulu apabila Latihan Asas Kdo diviralkan. Sedangkan latihan seumpama itu telah menjadi asam garam Kdo sejak dahulu lagi tanpa sebarang isu. – Malaysia
— Catatan pengalaman seorang Komando