Home Nasional Ganti skim pencen: Mekanisme lantikan baharu perlu dibincang

Ganti skim pencen: Mekanisme lantikan baharu perlu dibincang

Azih Muda

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap perundingan akan terus berlaku antara kerajaan dengan kongres berhubung mekanisme lantikan baharu dalam perkhidmatan awam sekiranya kerajaan berhasrat memansuhkan skim pencen.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata ini bagi memastikan masa depan penjawat awam tidak menjadi pertikaian pada masa hadapan.

“Cuepacs amat terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Datuk Seri Borhan Dolah) untuk tidak lagi mengambil kakitangan tetap dan berpencen menjelang 2020.

“Sekiranya cadangan ini dilaksanakan, Cuepacs berpandangan masa depan anak-anak muda negara untuk berkhidmat dengan kerajaan dalam konteks ‘Government The Nation’ tidak lagi menjadi keutamaan kerana khidmat negara ini adalah sesuatu yang amat penting kepada tegaknya sesebuah kerajaan dan utuhnya pentadbiran kerajaan dan negara,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama, hari ini.

Borhan pada Rabu berkata mulai tahun depan, lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat di bawah skim tetap dan berpencen sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambah baik.

Skim lantikan kontrak baharu itu, yang kini sedang diperhalusi, dikatakan bakal menawarkan gaji yang lebih menarik serta kebajikan, perlindungan dan jaminan yang lebih baik.

Menurut Azih, Cuepacs mendengar dan menyokong untuk Malaysia menjadi sebuah negara kaya yang mampan dan beranggapan bahawa tonggak kekuatan negara yang berpaksikan perkhidmatan awam perlu terus dipertahankan.

“Tetapi sekiranya kerajaan tidak lagi mengambil pekerja tetap dan berpencen apakah yang akan berlaku kepada kekuatan tunggak ini” soalnya.

Beliau turut membangkitkan persoalan berhubung nasib pekerja kerajaan untuk memiliki kehidupan lebih baik termasuk pemilikan rumah, aset dan pendidikan anak-anak.

Sehubungan itu, Cuepacs berpandangan Skim Pencen yang ada sekarang adalah terbaik kepada negara dan bertepatan dengan Perlembagaan, tegas Azih.

— BERNAMA