KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka berada dalam fasa penstabilan minggu depan susulan prestasi serantau yang lemah, kata seorang peniaga.
Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBMKCLI) turun sebanyak 1.2 peratus sejak dua minggu lepas apabila pasaran menjadi stabil selepas mencatatkan kenaikan tertinggi bagi tahun ini sebelumnya.
“Ia dianggap sebagai pembetulan sihat berbanding kenaikan tertinggi itu di mana FBMKLCI mencatatkan kenaikan 7.1 peratus setakat ini bagi tahun ini meskipun kemungkinan tinggi kenaikan kadar Rizab Persekutuan AS dan keraguan akan pembaharuan fiskal Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata beberapa petunjuk positif ekonomi, antara lainnya, Transformasi Nasional 2050 (TN50) boleh mengimbangi sebarang kelemahan harga pasaran.
Beliau berkata, TN50 yang akan menjadi penggerak utama bagi Bajet 2018, akan membawa kepada beberapa kegiatan spekulasi dalam pasaran saham tempatan sepanjang tahun ini.
Selain itu, katanya, pasaran saham tempatan dijangka disokong oleh kekuatan harga minyak mentah sekarang, meletakkan niaga hadapan minyak mentah itu dalam trend meningkatnya yang paling lama sejak Ogos 2016 dan paras tertinggi sejak awal Mac 2017.
Beliau berkata, harga minyak mentah mencatatkan kenaikan selepas berita melaporkan Arab Saudi melobi Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan negara-negara lain meneruskan pengurangan pengeluaran sehingga selepas separuh pertama tahun ini.
Bagi minggu yang baru berakhir ini, pasaran saham tempatan ditutup kebanyakannya rendah apabila sentimen terjejas oleh peningkatan risiko geopolitik di Syria dan perkembangan di Semenanjung Korea.
Bagi asas minggu ke minggu, FBM KLCI susut 10.73 mata kepada 1,730.99 daripada 1,741.72. Indeks FBM Emas susut 105.24 mata kepada 12,308.12, Indeks FBMT 100 turun 92.45 mata kepada 11,948.11, dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 123.53 mata kepada 12,759.4.
FBM 70 turun 181.47 mata kepada 14,495.28 dan FBM Ace susut 192.32 mata kepada 6,001.62. Mengikut sektor, Indeks Kewangan susut 139.33 mata kepada 15,564.71, Indeks Perusahaan turun 21.28 mata kepada 3,237.16 manakala Indeks Perladangan jatuh 249.75 mata kepada 7,914.03. Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 18.92 bilion unit bernilai RM11.54 bilion daripada 20.73 bilion unit bernilai RM15.29 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 12.27 bilion saham bernilai RM10.64 bilion daripada 14.20 bilion saham bernilai RM14.18 bilion pada Jumaat minggu sebelumnya. Jumlah dagangan waran susut kepada 812.95 juta unit, bernilai RM102.98 juta daripada 1.09 bilion unit bernilai RM143.59 juta yang diniagakan minggu sebelumnya.
Pasaran ACE meningkat kepada 5.78 bilion saham bernilai RM789.85 juta daripada 5.39 bilion saham bernilai RM959.57 juta sebelumnya. – MalaysiaGazette