Home Sukan Samuel Eto’o gantung but

Samuel Eto’o gantung but

Bekas pemain Barcelona dan Inter MIlan, Samuel Eto'o menggantung but bersara dari dunia bola sepak.

LONDON – Bekas penyerang Barcelona, Samuel Eto’o mengumumkan persaraan selepas berkecimpung selama 22 tahun dalam dunia bola sepak.

Samuel, 38, memulakan karier bersama Real Madrid dengan hanya tiga penampilan sebelum beraksi untuk 13 kelab termasuk, Barcelona, Inter Milan, Chelsea, Everton dan Sampdoria.

Karier Eto’o berada di puncak ketika bersama Barcelona menjuarai tiga gelaran La Liga dan dua Piala Liga Juara-Juara Eropah.

Eto’o menyertai Inter Milan pada 2009 selepas lima tahun di Nou Camp dan menjulang kejuaraan Eropah untuk kali ketiga ketika bawah bimbingan Jose Mourinho.

Dia kemudian menyertai Anzhi Makhachkala dari 2011 hingga 2013 sebelum berhijrah ke Stamford Bridge untuk bersama Chelsea dan seterusnya menyertai Everton selama setahun.

Qatar SC mendapatkan khidmatnya pada 2018 sebelum Etoo meninggalkan kelab itu awal Januari lalu.

Pemain itu menerusi akaun Instagramnya pada hari ini mengumumkan keputusan untuk bersara dari dunia bola sepak.

“Pengakhiran ke arah cabaran baharu bermula. Terima kasih semua,” katanya secara ringkas.

Eto’o menjaringkan 56 gol dalam 118 penampilan bersama pasukan kebangsaan Cameroon.

Beliau membantu negaranya merangkul pingat emas dalam temasya Olimpik 2000 di Australia dan Piala Africa pada tahun 2000 dan 2002. – Agensi