PASIR SALAK – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani digesa meningkatkan sumbangan sektor agromakanan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada lima peratus sebelum berakhir Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tahun lepas prestasi sektor itu boleh dibanggakan apabila menyumbang sebanyak RM36.5 bilion atau tiga peratus kepada KDNK.
“Saya yakin ia (peratusan) itu boleh tercapai berdasarkan prestasi menterinya, timbalannya serta gabungan dalam kementerian,” katanya ketika berucap melancarkan Program Gelombang Tani Nasional (GTN) 2017, di sini, hari ini.
Turut hadir kedua-dua Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman serta Datuk Nogeh Gombek dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
GTN diperkenalkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bertujuan untuk memartabatkan semula para petani di negara ini melalui perubahan sikap dan tanggungjawab bagi memastikan kelestarian sektor agro makanan negara tanpa bergantung harap sepenuhnya kepada kerajaan.
Ia merupakan kesinambungan daripada kejayaan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Tani di kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara pada Oktober tahun lalu.
Ahmad Zahid berkata, pada tahun lalu nilai import bahan makanan negara berjumlah RM46.8 bilion berbanding eksport sebanyak RM30.2 bilion.
“Ini bermakna negara mengimport bahan makanan melebihi eksport sebanyak RM16.6 bilion. Jadi pasaran dalam negara masih luas untuk diterokai oleh keluaran pertanian tempatan,” katanya.
Sementara itu Timbalan Perdana Menteri turut meminta kerajaan negeri Perak supaya mengoptimumkan tebus guna tanah terbiar untuk tujuan sektor pertanian dengan menjadikan Belanda yang kini muncul sebagai negara pengeksport pertanian kedua terbesar dunia, sebagai contoh.
Menurutnya, para petani juga perlu mengubah cara berkerja dengan mengguna pakai teknologi dan kaedah moden dalam pengurusan aktiviti pertanian mereka. – MalaysiaGazette