Home Nasional Tanam Padi Skala Besar: Kerajaan pertimbang pandangan pakar perladangan

Tanam Padi Skala Besar: Kerajaan pertimbang pandangan pakar perladangan

Dr. Mahathir Mohamad

ALOR SETAR – Kerajaan sudah mendengar pandangan dari salah seorang bekas peneraju syarikat perladangan negara yang boleh menjadi rangka untuk melaksanakan program perladangan padi berskala besar.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed, hari ini berkata Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Bakke Salleh telah membentangkan cadangan berhubung percantuman tanah yang boleh diaplikasikan dalam penanaman padi secara besar-besaran.

“Dia (Mohd Bakke) biasa dengan pengurusan ladang ladang sawit dan getah dan dia telah menulis sebuah paper (kertas kerja) berkenaan dengan cara cara nak cantumkan tanah supaya jadi lebih besar tapi tidak terhad kepada padi sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Padi Kebangsaan di sini.

Menurutnya cadangan berkenaan boleh diaplikasikan dalam keadaan yang dihadapi oleh golongan pesawah di negara ini yang sebahagian besarnya merupakan orang Melayu, yang setiap seorangnya memiliki saiz bidang tanah yang terhad.

“Kita lihat orang Melayu banyak mempunyai dua tiga ekar tanah dan tanam kelapa sawit. Tak boleh untung. Tanam getah tak boleh untung. Dia kena cantum supaya jadi lebih besar, urus dengan cara profesional, guna secara yang terbaik baru boleh untung,” katanya.

— BERNAMA