KUALA LUMPUR – Hari ke-7 perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari akan terus menyaksikan peguam bela Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyoal saksi juga merupakan bekas pegawai kepada bekas Perdana Menteri itu.
Menariknya, sudah masuk hari ke-5, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin memberikan keterangan dalam perbicaraan ini yang juga menyingkap pelbagai pendedahan demi pendedahan termasuk percanggahan kenyataan saksi bertulis olehnya sebelum ini.
Malah ketika di asak beberapa kali oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selaku ketua pasukan bela Najib, Amhari ada kalanya terkedu dan tidak dapat menjawab soalan bertubi-tubi itu melainkan jawapan ‘tiada komen’ atau ‘tidak bersetuju’.
Antara pendedahan yang menjadi persoalan Amhari juga bekas pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum di pinjamkan ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) itu bertindak memadamkan semua emelnya beberapa bulan selepas dibebaskan daripada reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018.
Antara kandungan emel yang telah dipadamkan olehnya termasuk ‘arahan-arahan’ yang dihantar oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low kepadanya.
Dakwa Amhari kepada Shafee Abdullah ketika disoal mengapakah bertindak demikian, beliau hanya sekadar berkata mahu membuka ‘lembaran’ dan sudah menjadi kebiasaan olehnya untuk memadamkan emel lama bagi memberi ruang kepada emel baru masuk.
Amhari juga bertindak memadamkan email tersebut tanpa mendapatkan kebenaran daripada SPRM terlebih dahulu, sekaligus menimbulkan rasa tanda tanya dengan jawapan ‘bersahaja’ olehnya.
Amhari: Saya sudah padamkan semua email-email termasuk yang di hantar oleh Jho Low kepada saya kerana memang kebiasaan untuk saya memadam bagi memberi ruangan kepada email baru masuk setiap tahun.
Shafee: Tetapi anda tidak d tahan setiap tahun bukan? Adakah anda ditahan setiap tahun?
Bagaimanapun Amhari tidak menjawab soalan sinis daripada Shafee Abdullah ketika itu.
Selain daripada itu, Amhari juga tidak dapat menjawab dengan tepat beberapa soalan yang disoal oleh peguam bela seperti yang ditulis olehnya dalam penyataan saksi minggu lepas.
Antaranya tentang bagaimana dakwaan kononnya Jho Low telah dilantik sebagai penasihat tidak rasmi serta sulit oleh Najib kerana menurut Amhari seandainya sulit ianya tidak apa-apa surat lantikan ‘hitam putih’ bagi mengesahkan dakwaan tersebut.
Amhari juga gagal menjawab ketika ditanya mengapakah ketika membuka akaun Bank BSI Switzerland di Singapura seperti yang diarahkan oleh Jho Low atas namanya tidak disahkan terlebih dahulu kepada Najib.
Sebelum ini, dakwa Amhari setiap arahan Jho Low sudah mendapat restu dan pengetahuan Najib dan selalunya beliau atau Allahyarham Datuk Azlin Alias akan bertanya bagi pengesahan kepada Perdana Menteri terlebih dahulu.
Shafee: Adakah pembukaan bank BSI Switzeland itu kecil pada pandangan anda? Bawah nama kamu, nama syarikat tertentu di Singapura perkara kecil sehingga anda tidak perlu dimaklumkan kepada Najib terlebih dahulu selepas mendapat arahan Jho Low?
Untuk seketika Amhari hanya mendiamkan diri sebelum menjawab ‘tiada komen’
Shafee: Bila kamu beri kenyataan kepada SPRM, kamu dan Azlin mengakui tentang ‘akan semak kepada PM Najib arahan-arahan Jho Low?
Amhari: Ya betul.
Shafee: Jawapan-jawapan kamu sangat tidak konsisten, saya cadangkan anda sebenarnya tidak jawab dengan jujur dan mahu memerangkap anak guam saya. Oleh yang demikian, anda telah diberikan ganjaran sebanyak AS$ 1 juta. Iaitu, AS$800,000 kemudian AS$200,000 diberikan oleh Jho Low yang kamu kata sebagai pinjaman.
Amhari: Tidak bersetuju
Sementara itu, Amhari memberitahu mahkamah bahawa dia tidak mengisytiharkan kepada kerajaan pinjaman AS$200,000 yang diberikan kepadanya oleh Jho Low serta tidak tahu ianya menjadi satu kesalahan jika bertindak demikian.
Selain itu, ketika diasak, Amhari berkata, beliau tahu hubungan Jho Low dan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor akrab kerana perbualan telefon yang dicuri dengar olehnya sambil mengakui butiran tidak jelas namun percaya mereka rapat.
Rosmah juga didakwa pernah bercakap tentang Jho Low kepadanya, selain menghadiri beberapa majlis eksklusif yang dianjurkan oleh suami isteri itu terutamanya di Langgak Duta.
Amhari juga tidak menjawab dengan tepat siapakah yang ‘diitakutkan’ sangat olehnya sehingga setiap arahan yang diberikan kepadanya telah di patuhi, beliau juga cuba mengelak ketika disoal Shafee dengan mengatakan soalan itu terlalu ‘subjektif’ untuk di jawab.
Selain itu, Amhari hanya menyatakan arwah Azlin yang memberitahunya untuk mengikut sahaja setiap arahan yang diberikan Jho Low walaupun tahu berdepan dengan risiko sehingga boleh mengancam diri, kerjaya serta keluarganya.
Ini berlainan dengan apa yang ditulis dan dibacakan oleh Amhari minggu lepas dalam penyataan saksinya.
Sumber memberitahu MalaysiaGazette, Shafee Abdullah sedang berkira-kira untuk ‘menyingkirkan’ Amhari sebagai saksi dalam kes ini berikutan jawapan tidak konsisten olehnya sejak beberapa hari ini.
Perbicaraan bersambung hari ini dengan Amhari akan menyambung sesi soal balas dengan Shafee Abdullah sebentar lagi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.
Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama sama. –MalaysiaGazette