Home Nasional Salahuddin Ayub yakin terima lebih banyak peruntukan dalam Belanjawan 2020

Salahuddin Ayub yakin terima lebih banyak peruntukan dalam Belanjawan 2020

Salahuddin Ayub

PUTRAJAYA – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berharap kementeriannya akan menerima peruntukan lebih banyak dalam Belanjawan 2020 berbanding sebelum ini.

Menurut beliau, ia perlu kerana banyak lagi program pemerkasaan nelayan dan petani akan dilaksanakan terutamanya penglibatan golongan muda dalam pertanian masih belum dicapai.

“Saya yakin dan percaya bahawa kita akan mendapat bajet yang lebih kerana kita banyak program dan banyak hala tuju yang kita nak sampai kepada rakyat.

“Kita nak modenkan semua sektor pertanian kita dan program ‘Rezeki Tani’ kita, dan program tanah dan kita nak buat satu program untuk menggalakkan golongan muda untuk masuk dalam sektor pertanian ini,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Dokumen Pengembangan Perikanan di kementeriannya, hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 November lalu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerima peruntukan sebanyak RM4.4117 bilion.

Daripada jumlah itu, RM3.057 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus manakala selebihnya iaitu RM1.360 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Peruntukan itu adalah lebih rendah berbanding RM6.5 bilion yang diterima kementerian itu dalam Bajet 2018 ketika Barisan Nasional masih menjadi kerajaan.

Salahuddin berkata, Jemaah Menteri kini membincangkan dengan panjang lebar mengenai persiapan Belanjawan 2020.

Mesyuarat yang dimulakan jam 9 pagi itu rata-ratanya membincangkan mengenai jalan penyelesaian terbaik kepada rakyat dalam merencanakan Belanjawan 2020.

“Mesyuarat panjang, kita bincang banyak mengenai persediaan untuk Bajet 2020 dan setiap kementerian bersedia untuk mengemukakan hujah untuk berikan yang terbaik kepada rakyat,” katanya lagi.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan membentangkan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober ini. – MalaysiaGazette