KEMAMAN – Seorang bayi perempuan berusia tiga bulan maut disyaki didera ibunya di Bandar Cheneh Baru di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan berkata, dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, bayi itu dibawa ke Klinik Kesihatan Cheneh oleh bapanya dalam keadaan lemah.
Pihak klinik katanya telah memberi bantuan kecemasan untuk menyelamatkan bayi tersebut namun gagal dan mendapati terdapat unsur penderaan pada bayi malang itu.
“Menurut lelaki tersebut, semasa dia pulang ke rumah untuk menghantar makanan pada isterinya pada pukul 10 pagi, dia melihat isterinya berbaring di sebelah bayi berkenaan.
“Kemudian dia bertanya kepada isterinya mahu makan ke tidak tetapi isterinya mengatakan telah menghantar anaknya ke syurga. Mendengar penjelasan itu, dia serta-merta terus membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Cheneh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hanyan berkata, kes tersebut kini dalam siasatan polis. – Bernama