Home Politik Salahudin, jangan lupa rumput di bumi

Salahudin, jangan lupa rumput di bumi

Dr Riduan Mohamad Nor

KUALA LUMPUR – Kenyataan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara menyerang Pas dibuat disebabkan ketakutan berikutan Himpunan Perpaduan Ummah.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Riduan Mohamad Nor menganggap Datuk Salahudin Ayub bimbang penolakan total Melayu kepada partinya yang disifatkan sekadar kelab penyokong DAP.

“Datuk (Salahudin) meremeh malah menista harakatul ummah ini seperti Datuk tak pernah bersama jamaah Islam ini, tidak pernah belajar perkara membatalkan syahadah atau batas-batas iman dan kufur,” katanya dalam surat terbuka kepada Menteri Pertanian itu hari ini.

Riduan merasa agak pelik dan hairan dengan sikap Salahuddin yang menyerang Pas sejak meninggalkan bahtera Pas secara berterusan dan cuba “mewajahkan’ Pas dengan wajah yang hodoh.

Beliau juga mengimbas kembali sejarah Salahuddin di dalam Pas.

“Semasa Salahudin menjadi ketua, kami akur dan taat, membantu program -program yang dirancang tanpa jemu.

“Teringat juga bagaimana sebelum Datuk menang sebagai MP Kubang Kerian, kami Exco Dewan Pemuda Pusat mencadangkan Datuk’ untuk bertanding di kawasan selamat agar berjaya menjadi jurubicara ummah yang berkesan.

“Dalam mesyuarat DPPP di Taman Melewar, Datuk dikeluarkan daripada bilik mesyuarat supaya mesyuarat tidak bias dan berkesan, seterusnya wakil DPPP dihantar menemui Tuan Guru Menteri Besar Kelantan.

“Mengapa saya bangkitkan isu pencalonan ini, kerana saya mahu Datuk melihat rumput dibumi apabila terpanar pada indahnya langit kekuasaan,” katanya.

Kini, katanya, selepas menikmati keadaan yang selesa dan tersanjung sebagai anggota kabinet, Salahudin sepatutnya melaksanakan manifesto PH sebagaimana yang dijanjikan bukannya menyerang amanat Tuan Guru yang telah berusia puluhan tahun.

“Pas disinis memakan dedak, usaha Pas mengumpulkan ratusan ribu ahli-ahli dan rakyat ke lautan ungu H355 disindir, kini bimbang pula akan himpunan Penyatuan Ummah 14 September ini,” katanya.

Tambah Riduan, ahli-ahli Pas masih teringat kata-kata pimpinan AMANAH yang sebelum PRU-14 yang berjanji akan melaksanakan Islam dan DAP akan menyempurnakan strategi untuk berperang.

“Namun setelah 16 bulan berkuasa,apa yang kami nampak DAP begitu rakus ingin menjayakan agenda mereka dan AMANAH diam tak berkutik seperti besarnya dedak direngkung. Cita-cita menjaga agama hanya ungkapan muluk-muluk dan janji manis yang memperdaya anak muda,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

‘UMNO kafir’ azimat Pas sekiranya kerjasama gagal, dakwa Salahuddin