KUALA LUMPUR – Vokalis kumpulan Exists, Mamat memohon maaf kepada semua pihak selepas insiden ditahan polis pada malam Ahad lalu.
Mamat atau nama sebenarnya Mohd. Ali Kamaruddin turut meluahkan rasa kesal dengan apa yang terjadi kerana apa yang berlaku adalah di luar jangkaannya.
Jelas lelaki berusia 41 tahun itu, dia masih terkejut dengan apa yang terjadi dan menyerahkan kepada polis untuk meneruskan siasatan.
“Saya menjanjikan persembahan terbaik pada konsert nanti dan akan sentiasa menjaga kesihatan.
“Apa yang berlaku sebelum ini amat mendukacitakan terutama buat rakan-rakan Exists,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas Konsert Exists Reunion di sini hari ini.
Turut penganjur konsert Exists Reunion, Shiraz Projects iaitu Shirazdeen Karim dan ahli Exists.
Dua hari lalu, Mamat dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan polis atas kesalahan dadah pada malam Ahad lalu.
Penahanan itu mengejutkan para peminat kumpulan Exists dengan berita penangkapan penyanyi lelaki itu di Taman Perling, Johor Bahru, Johor.
Ketika ditahan, polis turut menemui peket lutsinar yang dipercayai sejenis dadah.
Diminta mengulas dakwaan masyarakat dengan sikap yang tidak serik dengan gejala dadah, Mamat mengakui bukan mudah untuk berubah dan menjauhi daripada ketagihan najis nombor negara itu.
Jelasnya, apatah lagi dia sering kesunyian tanpa anak-anak di sisinya yang tinggal bersama bekas isterinya.
Katanya, waktunya banyak terluang dengan rakan-rakan ‘negatig’ yang menjadi antara faktor dia masih terjebak dengan aktiviti tidak sihat itu.
“Saya mula berubah sejak setahun yang lalu dan rakan-rakan Exists telah menyarankan saya masuk ke pusat pemulihan.
“Bukan mudah hendak berubah dan kena ada dorongan dan bantuan kuat. Punca ambil dadah ini bergantung kepada diri sendiri dan hendak berubah atau tidak,” katanya jujur.
Mamat memberitahu, sebagai langkah berjaga-jaga, dia akan tinggal di sini sehingga konsert berakhir sambil dipantau pergerakannya oleh rakan-rakan Exists. – MalaysiaGazette