Home Pendapat Penggabungan UMT-UniSZA timbul pelbagai persoalan

Penggabungan UMT-UniSZA timbul pelbagai persoalan

TIDAK ada angin, tidak ada ribut, dengan secara tiba-tiba muncul isu penggabungan antara dua buah Universiti Awam (UA), iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Difahamkan, penggabungan ini terjadi
disebabkan beberapa faktor seperti langkah penjimatan pengurusan dan penstrukturan semula pentadbiran.

Langkah penggabungan ini adalah sesuatu yang baik untuk jangka masa panjang, namun yang menjadi polemik ketika ini adalah bagaimana keputusan tersebut dibuat secara tergesa-gesa tanpa ada sebarang perbincangan antara pihak-pihak yang
berkepentingan.

Difahamkan juga, keputusan tersebut dibuat tanpa ada perbincangan bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT, UniSZA dan pengurusan tertinggi universiti. Mahasiswa dan pegawai pentadbir menjadi terpinga-pinga, dengan siapakah isu ini dibincangkan?

Dan jika benar sudah dibincangkan, siapakah individu yang bertanggungjawab membuat keputusan? Selepas khabar angin penggabungan UMT-UniSZA disahkan peringkat tertinggi
Kementerian Pendidikan Malaysia, mahasiswa UMT telah mengambil inisiatif membantah cadangan tersebut dengan mengadakan perhimpunan secara aman.

Mereka menolak sekeras-kerasnya cadangan tersebut kerana mendakwa bahawa apabila terjadi penggabungan, UMT akan lebih banyak terjejas berbanding UniSZA. Jika idea ini berjaya direalisasikan, ia akan terpahat dalam sejarah negara kerana buat
pertama kalinya dua buah Universiti Awam (UA) digabungkan menjadi sebuah universiti.

Jika sebelum ini UMT dan UniSZA mempunyai pentadbiran sendiri, pada masa akan datang kedua-dua buah universiti ini akan ditadbir di bawah satu unit yang sama. Jika benar kerajaan mahu melaksanakan cadangan ini, keputusan tidak boleh dibuat
secara tergesa-gesa.

Pelaksanaan ini perlu melalui beberapa kajian, cadangan daripada ahli-ahli akademik, menjalankan kutipan suara, perbincangan dengan pakar dan mengambil contoh daripada beberapa universiti luar negara yang pernah melakukan penggabungan.

Apabila terjadi penggabungan antara UMT-UniSZA, satu nama baru perlu digunakan bagi menggantikan nama kedua-dua universiti tersebut. Amat tidak wajar jika hasil daripada penggabungan tersebut, nama UMT akan dikekalkan manakala Unisza dihapuskan. Situasi ini akan mendatangkan rasa tidak puas hati UniSZA yang telah mengguna pakai nama Almarhum Sultan Zainal Abidin sejak awal penubuhannya.

Begitu juga sebaliknya jika nama UniSZA diguna pakai, seluruh warga UMT akan berasa tidak puas hati.

Kerajaan juga perlu menilai dengan secara terperinci apakah nasib warga pendidik, kakitangan sokongan dan pelajar-pelajar di kedua-dua universiti tersebut. Ke manakah mereka harus ditempatkan, apakah ada jaminan terhadap pekerjaan mereka sekarang ini, apakah pula nasib yang akan terjadi terhadap pelajar yang akan menyambung pengajian pada masa akan datang?

Keputusan menggabungkan UMT-UniSZA perlu melalui satu kajian yang terperinci, perbincangan demi perbincangan perlu diperhalusi supaya idea penggabungan tersebut benar-benar bermanfaat, bukannya dibuat secara tergesa-gesa. Jika masih dalam peringkat perbincangan, kerajaan mempunyai masa untuk membuat kajian.

Jika masih belum bersedia dengan pelan tindakan yang lebih efektif, maka amat wajar ditangguhkan dahulu pelaksanaan tersebut. Mahasiswa dan seluruh warga UMT serta UniSZA pula diharap agar lebih tenang menghadapi situasi ini dan meletak sepenuh kepercayaan kepada pihak-pihak berkepentingan agar keputusan terbaik dapat dicapai.

Semoga kegusaran ini dapat diakhiri dengan secepatnya supaya pendidikan anak-anak bangsa tidak terjejas dan terus kekal utuh di landasan ilmu.

Syahmi Minhad, pembaca Malaysia Gazette