KUALA LUMPUR – Sejak beberapa hari ini, rakyat Malaysia mula meluahkan rasa rindu mereka terhadap Raja Permaisuri Agong di Twitter selepas Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ‘menutup’ media sosialnya.
Namun perasaan itu terubat seketika apabila Tunku Azizah muncul kembali dengan gambar selfie terbaharu baginda bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Bagaimanapun gambar itu dikongsi seorang pemuda di Twitter miliknya.
Foto perkongsian arkitek dan juga penulis, Teme Abdullah itu bersama dengan kapsyen ‘Dan tentang gambar itu, aku dah dapatkan perkenan keizinan tuanku untuk berkongsi di media sosial aku. Jangan risau. Nah… buat yang rindu tuanku.’
Teme turut menzahirkan ucapan penghargaannya kepada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah atas kesudian baginda berdua menerima lukisan potret pemberiannya.
“Baginda tuanku boleh sahaja mengupah pelukis ternama bertaraf dunia untuk melakar wajah baginda menghiasi istana tetapi baginda berdua merendah diri, mencemar duli turun ke bawah dan memilih lukisan seorang anak muda macam aku. Begitulah tuanku dengan rakyat,” tulisnya.
Teme turut memuatnaik ciapan ‘Akhir sekali… Our beloved Queen (Permasuri kami yang disayangi), DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ada kirimkan salam pada semua. Tidak kira friends or haters (kawan atau lawan)’.
Malam Rabu lalu, Tunku Azizah menyahaktifkan akaun Twitternya @cheminahsayang berikutan komen negatif segelintir netizen.
Sementara itu, Firdaus Asraf salah seorang pemuda yang mengeluarkan kata-kata biadab terhadap Tunku Azizah tampil membuat permohonan maaf petang semalam.
Tindakan itu dipercayai dilakukan selepas individu terbabit menerima kecaman ramai pihak dan beberapa individu telah ditahan polis.
Semalam, netizen turut melancarkan kempen dengan tanda pagar #AmpunTuanku bagi ‘memujuk’ Tunku Azizah mengaktifkan semula akaun Twitter rasminya @cheminahsayang.
Namun tiada respons balas daripada Tunku Azizah sehingga kini – MalaysiaGazette
Daulat Tuanku!!!…tak perlu lah tuanku layan mrk semua. Krn ramai yg tak tau kedudukan diri lebih2 zaman Malaysia Baru dimana mrk nk kan kesamarataan hingga terlupa tata susila adat Melayu, yg amat di sanjung tinggi. Bak kata Hang Tuah, ” TAK KAN MELAYU HILANG DI DUNIA”..WUJUD MELAYU MAKA WIJUD DAN KEKALLAH ,KESULTANAN RAJA2 MELAYU…CuBA KITA INTAI KEMBALI , WAADAD DEMANG LEBAR DAUN…Dlm Sejarah Melayu…
DAULAT TUANKU!!!!!!!!.