Home Seni Hidup Pos Malaysia keluarkan setem Makanan Kita

Pos Malaysia keluarkan setem Makanan Kita

KUALA LUMPUR – Pos Malaysia mengeluarkan koleksi siri setem Makanan Kita memaparkan illustrasi makanan tempatan yang menjadi kegemaran semua orang di seluruh Malaysia.

Antaranya Nasi Lemak Bungkus, Roti Canai, Mi Kolok, Hinava, Apam Balik, Kuih Cincin, Kuih Ketayap, Kek Lapis, Teh Tarik, Aiskrim Gula Apong, Puding Kelapa dan Bubur Cha-Cha, di dalam 3 lembaran setem dengan nilai muka 60 sen, 80 sen dan RM1.

Manakala, pemanis mulut kegemaran rakyat Malaysia iaitu Air Batu Campur (ABC) pula dipaparkan di atas lembaran mini yang sungguh unik dengan bentuk pengisar ais ABC dan mangkuk ABC itu sendiri dilengkapi dengan kesan khas ‘Spot UV’ dan potongan terap ‘die-cut’.

Menurutnya, Lembaran mini ini akan dijual pada harga RM5 sekeping.

Lembaran mini ABC dan setem ‘Makanan Kita’ ini juga didatangkan dengan teks mikro khas, sesuatu yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

Cop tarikh khas akan memaparkan Nasi Lemak, Kuih Cincin, Kek Lapis dan bendera Malaysia untuk menambah rasa kebanggaan sempena Hari Kebangsaan.

Katanya, produk Filateli yang lain seperti Sampul Hari Pertama (FDC) dan folder boleh didapati pada harga 50 sen dan RM6.00 setiap satu.

Edisi khas set folder lengkap Makanan Kita boleh dibeli pada harga RM67.40.

Pos Malaysia menambah, set lengkap folder siri setem ini didatangkan bersama dengan lembaran setem, lembaran mini bentuk khas ABC serta sampul hari pertama turut boleh dibeli menerusi www.eziemall.com atau kunjungi pejabat pos yang terpilih di seluruh negara atau Galeri Setem di Tingkat Dua, Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kompleks Dayabumi, Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette