KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti politik di negara ini tidak seharusnya mempercayai ‘bangsa’ DAP.
Menurut beliau, DAP akan meninggalkan rakannya sebagaimana yang dilakukan kepada Pas tidak lama dahulu.
“Kami ada pengalaman ‘bangsa’ DAP bila berdepan sesuatu keadaan kritikal, dia sanggup tinggal kawan yang bersama dengan dia.
“Waktu dalam Barisan Alternatif, menghadapi PRN Sarawak DAP keluar daripada gabungan untuk bertanding di Sarawak. Lepas pilihan raya dia masuk balik. Waktu bersama dalam Pakatan Rakyat (PR), perkara sama dibuat DAP semasa PRN Sarawak. Dia sanggup tinggal kawan demi menjaga kepentingan parti dia.
“Itu parti yang tidak boleh dilawan dalam politik apatah lagi nak angkat mereka sebagai pemimpin. Kita tidak memusuhi bangsa Cina, India, Orang Iban sebab bangsa bukan pilihan kita,” katanya di Himpunan Penyatuan Ummah diĀ Pusat Dagangan Dunia Putra malam ini.
Hadir sama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua Naib Presiden Pas-UMNO, Idris Ahmad dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Justeru itu, Tuan Ibrahim mengajak agar Pas-UMNO terus mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua parti.
Ujarnya, ada pihak yang ingin melihat agar kerjasama itu tidak kekal lama malah ada pemimpin Pakatan Harapan (PH) sudah tidak senang duduk dengan kerjasama itu.
“Ada yang kata muafakat Pas-UMNO tidak akan bertahan lama. Kita akan urus hormat menghormati antara satu sama lain dan bertekad jangan ada sesekali elemen-elemen memecahkan muafakat ini,” tambah Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.
Lagipun, katanya, kerajaan yang menang atas dasar fitnah tidak akan kekal lama.
Kerjasama mereka turut ditakuti oleh PH sehingga pelbagai fitnah dan dakyah dimainkan oleh pihak kerajaan.
“Muafakat antara Pas-UMNO sangat ditakuti oleh PH. Mereka tidak boleh sembunyikan perkara itu dengan menggambarkan negara ini akan wujud negara Taliban dan masalah kaum.
“Bayangkan dua parti itu tidak mungkin akan jadi taliban dan masalah perkauman,” katanya lagi.
Menceritakan mengenai langkah pertama dalam membentuk kerjasama ini, Pas kata Tuan Ibrahim tidak mengambil keputusan yang mudah untuk menjalinkan kerjasama dengan UMNO.
“Bukan mudah untuk Pas buat keputusan. Ibarat kapal yang besar nak belok kena ada strategi. Mengurus persepsi, supaya strategi yang didukung parti, ahli akan ikut,” katanya. -MalaysiaGazette