Home Politik UMNO, Pas berazam kukuh semangat ukhuwah

UMNO, Pas berazam kukuh semangat ukhuwah

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas hadir pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 14 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – UMNO mengajak rakan gabungannya, Pas menanam azam untuk mengukuhkan semangat ukhuwah yang telah termeterai hari ini.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka perlu sama-sama mengikis sikap hasad dengki, khianat, iri hati, bertelagah serta berbalah sesama sendiri.

Sebaliknya, kata beliau, mereka perlu menanam azam akan terus kekal bersatu padu dan patuh dalam menegakkan agama Islam.

“Kita juga berazam akan bersama-sama mendepani sebarang halangan, cabaran luaran dan dalaman, demi memartabatkan agama, bangsa dan negara.

“Marilah kita berazam, kita tidak akan mengenepikan sesama kita dalam apa sahaja keadaan. Seandainya ada sebarang perbezaan pandangan, pendapat dan kehendak, ia perlu dirujuk secara musyawarah berlandaskan kepada sumber hukum, nas al-Quran, hadis, qias dan itjmak ulama.

“Ingin saya tegaskan, kejayaan permuafakatan UMNO dan Pas ini memerlukan dokongan semua rakyat di seluruh negara,” katanya berucap pada Himpunan Penyatuan Ummah dan Menandatangani Piagam Muafakat Nasional di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, permuafakatan itu adalah formula terbaik ke arah tawaran baru atau new deal mewujudkan sebuah negara yang aman sejahtera untuk generasi akan datang dan perlu dipertahankan demi menjamin kelangsungan masa depan mereka.

Katanya, pemangkin kejayaan permuafakatan itu juga bergantung kepada anak-anak muda, selain peranan kaum wanita dan muslimat sebagai pendorong dalam melaksanakan misi suci itu.

“Pastikanlah perjuangan ini berterusan dan tidak terputus di tengah jalan. Penyatuan ummah ini, hendaklah dipupuk, disubur dan dipertahankan untuk selama-lamanya.

“Sesungguhnya, permuafakatan ini, menjaga dan menjamin hak semua kaum dan bangsa serta sejarahnya telah membuktikan selama memerintah, kita menjunjung Perlembagaan dan kontrak sosial yang dibentuk oleh pengasas kemerdekaan negara.

“Kita tidak pernah merampas hak sesiapa. Negara pasti aman sejahtera jika semua pihak mendokong keluhuran Perlembagaan dan menghormati Kedaulatan Undang-Undang,” katanya.

Beliau berkata, demi kelangsungan piagam itu, pertelingkahan hendaklah dielakkan dan mereka tidak harus bersaing sesama sendiri kerana sejarah membuktikan, pergeseran seringkali berakhir dengan kemusnahan.

Katanya, tragedi Andalusia, Istanbul dan hancurnya Empayar Melayu-Islam Melaka menceritakan segala-galanya dengan menyaksikan perpecahan ummah mendatangkan mudarat besar.

“Insaflah! Jangan kita mengulangi kesilapan masa lampau,” katanya.

Beliau berkata, selama ini, tonggak kepimpinan Melayu bersama rakan setia telah terbukti bertanggungjawab dan mampu menerajui masyarakat majmuk di Malaysia.

Kecelaruan pentadbiran kerajaan sekarang, ujar beliau kerana ketiadaan tonggak kepemimpinan Melayu yang berani dan berwibawa.

“Saya pasti UMNO dan Pas boleh menggalas tanggungjawab besar dalam menangani kemelut politik sekarang.

“Fahamilah, permuafakatan ini perlu dilihat sebagai penyelesaian terhadap permasalahan hari ini dalam usaha mewujudkan kedamaian, keharmonian dan pembelaan nasib rakyat. Ummah dan negara hendaklah diutamakan.

“Gagasan Muafakat Nasional ini menawarkan pelbagai dasar alternatif dalam menzahirkan prinsip semak dan imbang, hala tuju yang lebih pragmatik, realistik dan mampan,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, muafakat itu adalah pilihan utama menggantikan pentadbiran kakistokrasi yang telah mengakibatkan negara menjadi A Failed State.

Jelas beliau, permuafakatan yang dimeterai itu juga berlandaskan kepada akidah, keimanan dan keikhlasan sebagai paksi bagi memperkukuhkan kebersamaan ummah.

“Ia bukan semata-mata agenda politik,” katanya.

Bahkan, ujarnya lagi, akidah Islam mengikat seseorang Muslim dengan segala aturan hukum Islam dan sewajarnya penyatuan ummah itu berpandukan kepada akidah dan keikhlasan.

“Penyatuan Ummah merupakan fardu kifayah, mendukungnya adalah suatu tuntutan Islam.

“Selama ini orang bukan Islam membaca gelagat dan keperibadian orang Islam dalam merumuskan persepsi mengenai Islam.

“Sudah tentulah penyatuan ini akan mengembalikan semula teladan agung umat Islam kepada seluruh rakyat negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette