KEPALA BATAS – Cadangan penganjuran Kempen Pemilikan Rumah (HOC) kepada pembeli warga asing bagi menyelesaikan isu lambakan rumah mewah tidak terjual adalah sebahagian daripada usaha untuk memulihkan ekonomi negara, demikian menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Beliau berkata, dengan penjualan rumah mewah tidak terjual itu, kerajaan dapat mencairkan keadaan ekonomi negara sekali gus membuka lebih peluang kepada pemaju untuk merancakkan lagi projek pembangunan perumahan mampu milik di negara ini.
“Pada mereka yang memberikan kritikan itu mungkin mereka tidak faham konsep ekonomi negara. Konsep ekonomi negara bila kita lihat dalam keadaan begini kita harus cuba menyelesaikannya untuk mencairkan keadaan ekonomi negara dan membantu kita memulihkan ekonomi serta industri perumahan. Sekiranya ia terbeku di situ ada 140 industri hiliran yang terbabit dengan pembangunan industri perumahan.
“Jadi, kalau kita dapat cairkan ini dengan penjualan rumah-rumah ini, bank pun akan dapat menerima bayaran daripada pemaju, lepas itu rancakkan lagi aktiviti ekonomi, aktiviti pekerjaan dan sebagainya… boleh juga merancakkan lagi projek rumah mampu milik yang kerajaan nak buat. Itu asas dia,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengisytiharan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di sini, hari ini.
Pada Rabu lepas, Zuraida dilaporkan mencadangkan HOC untuk menarik pembeli dari China dan Hong Kong bagi menyelesaikan isu lambakan rumah mewah di negara ini yang bernilai kira-kira RM100 bilion.
Zuraida berkata adalah menjadi tanggungjawab Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memastikan rumah-rumah terbabit terjual bagi mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai landskap yang baik.
“You just imagine 10 tahun akan datang kalau kita tidak clearkan hartanah ini, negara ini landskapnya adalah landskap bangunan-bangunan terbengkalai, bangunan-bangunan yang kotor dan uzur. Adakah kita nak melihat Malaysia begitu pada masa akan datang. Kita akan menyesal nanti. Jadi, kita kena menanganinya sekarang semampu boleh,” katanya.
Bagaimanapun, menurutnya penjualan rumah itu kelak tidak mudah dan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Beliau berkata KPKT bersama Kementerian Pelancongan dan Kementerian Dalam Negeri akan meneliti semula pakej Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan melihat penambahbaikan yang boleh dibuat sama ada bersesuaian dengan pelaksanaan cadangan penganjuran HOC itu.
Manakala di ISKANDAR PUTERI, Kerajaan Negeri Johor bersetuju sekiranya kempen Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dipergiat dan diperkenalkan khususnya dalam menangani isu lambakan hartanah mewah tidak terjual di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri Dzulkefly Ahmad berkata usaha itu secara tidak langsung dapat menarik pelaburan asing terutama bagi mereka yang ingin menghabiskan persaraan di negara ini.
“Kalau buat pameran di luar negara, kita lebih setuju dipergiatkan kempen MM2H, maknanya kita menarik pelaburan mereka yang hampir bersara untuk habiskan tempoh persaraan di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas program Mini Karnival Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih di sini, hari ini.
— BERNAMA