IPOH – Dua pekerja pembersihan sebuah syarikat swasta maut selepas terjatuh ke dalam lubang saluran air di hadapan pusat membeli-belah Angsana Mall di sini semasa melakukan kerja-kerja pembersihan awal pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh P. Samasuvam berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden tersebut kira-kira 1.30 pagi sebelum dua jentera bersama 15 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, anggota bomba yang lengkap dengan alat pernafasan bertindak turun ke dalam saluran air itu untuk menyelamatkan mangsa.
“Bomba menemui kedua-dua mangsa yang berumur 27 tahun di bahagian dasar saluran air tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
“Mangsa dipercayai terjatuh ketika sedang menuruni anak tangga saluran air itu tanpa memakai alat bantuan pernafasan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Kedua-kedua mangsa yang belum dikenal pasti identitinya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi menyelamat tamat 3 pagi. – MalaysiaGazette