KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini mengemukakan notis kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung rancangan beliau untuk berdebat dengan bekas pembantu khasnya, Haris Che Mat.
Tarikh 27 April depan dicadangkan Mukhriz ekoran permohonan sebelum ini ditolak polis atas alasan ia gagal memenuhi notis 10 hari yang dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Ini notis makluman debat antara Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dengan Haris Che Mat. Notis ini telah diserahkan kepada Ketua Polis Daerah Kota Setar pada petang tadi (semalam) 16 April 2017.
“Pihak kami memohon untuk adakan debat di Dewan Perhimpunan Melayu Kedah pada 27 April atau 5 Mei 2017 setelah Polis Daerah Kubang Pasu tolak permohonan Haris untuk adakan debat di Padang Serai,” tulis Mukhriz.
Dalam notis berkenaan, Mukhriz menyebut Haris bersetuju untuk menjawab soalan-soalan mengenai Riza Aziz, anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Debat berkenaan berkisar mengenai ‘Kekayaan anak-anak Tun Mahathir vs kekayaan Riza Aziz, siapa yang halal dan siapa yang haram?’.
Pada 25 Mac lalu, Mukhriz menyahut cabaran bekas Pegawai Khas Politiknya, Haris Che Mat untuk mengadakan sesi debat terbuka mengenai punca kekayaan dimilikinya yang didakwa mencecah berbilion ringgit. -MalaysiaGazette.