Home Seni Hidup Meniti usia 94 tahun, Dr Mahathir akui ramai tanya tips jaga kesihatan

Meniti usia 94 tahun, Dr Mahathir akui ramai tanya tips jaga kesihatan

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini sekali lagi berkongsi amalan penjagaan kesihatan yang membolehkan beliau kekal aktif dalam usia 94 tahun.

Bercakap dalam satu temubual bersama BFM, Dr Mahathir berkata, beliau sememangnya acap kali ditanya soalan bagaimana mengekalkan kesihatan dalam usia sekarang.

“Ke mana-mana saya pergi ramai yang bertanya tentang ini, sesuatu yang pasti saya tidak mengidap penyakit berbahaya seperti kanser sebab itu mampu bertahan sehingga usia 94,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, beliau pernah terkena serangan jantung sekali dan penyakit tersebut boleh dirawat memberi peluang kepadanya untuk hidup lebih lama.

Pada masa yang sama, kata Dr Mahathir, beliau amat mengambil berat tentang berat badan dan memastikan tidak gemuk serta mengawal pengambilan makanan.

“Saya sering beritahu kalau sesuatu makanan itu sedap berhenti makan, ia memang tidak mudah, tetapi itu nasihat ibu saya yang tidak tahu apa-apa mengenai perubatan,” katanya.

Apabila belajar di sekolah perubatan, katanya, beliau nampak logik nasihat ibunya itu kerana apabila seseorang itu makan banyak maka perut menjadi besar dan berat badan bertambah sehingga menjadi gemuk.

“Keadaan ini menyebabkan jantung terpaksa bekerja keras untuk mengepam darah ke banyak bahagian, sehingga sampa masanya jantung gagal berfungsi begitu juga dengan organ-organ lain,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, hidup lama adalah satu perkara, tetapi hidup lama dan boleh berfungsi adalah perkara yang berbeza.

“Satu perkara yang saya sedar, apabila anda bersara dan anda tidak berjumpa orang, anda tidak bercakap dengan orang, anda tidak menjawab soalan tidak enak dari wartawan, otak akan merosot, anda tidak boleh ingat, anda tidak boleh bercakap dan anda tidak kenal orang.

“Otak mesti bersenam sama seperti otot kepada tubuh badan,” katanya menutup temubual. – MalaysiaGazette