Home Ekonomi Penggabungan tetap strategi utama Axiata

Penggabungan tetap strategi utama Axiata

KUALA LUMPUR – Axiata Group Bhd. tetap meneruskan penggabungan sebagai strategi utama meskipun terpaksa menamatkan rancangan dengan gergasi talian mudah alih Asia, Telenor ASA.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim, syarikat tersebut mungkin berjaya mencapai hasratnya untuk bergabung bagi operasi di Malaysia dan Indonesia dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

“Penggabungan adalah kunci kepada masa hadapan yang lebih kukuh untuk kita bagi tempoh sederhana jika dilihat kepada cabaran di dalam industri ini.

“Pembatalan penggabungan (dengan Telenor) tidak melemahkan semangat kita untuk melihat kepada peluang-peluang lain,” katanya dalam satu temuramah dengan Bloomberg di pejabatnya.

Jamaludin turut mengesahkan laporan sebelum ini yang Axiata ada menerima tawaran pembelian anak syarikat menaranya, Edotco bernilai RM3 bilion.

Katanya, syarikat tersebut memberi pertimbangan terhadap semua tawaran dan meneroka semua opsyen untuk Edotco termasuk menghidupkan semula pelan penyenaraiannya.

Keputusan mengenai penyeneraian itu akan dibuat akhir tahun ini.- Agensi