
KUALA LUMPUR – Muafakat Nasional tidak seharusnya bersemaraknya di PWTC semata-mata.
Ia mesti disusuli dengan pelan tindakan menyeluruh dilaksanakan segera bersama semua parti-parti komponen Barisan Nasional, Gagasan Sejahtera serta NGO demi memikirkan pelan tindakan terbaik negara pasca PRU-15.
Itu gesaan Presiden Berjasa, Datuk Dr. Ir. Badhrulhisham Abd Aziz sambil mengucapkan tahniah atas majlis pemeteraian piagam kerjasama politik antara Pas dan UMNO yang berlangsung dalam suasana penuh bersejarah di PWTC (Pusat Dagangan Putra).
“Kerjasama politik antara dua parti terbesar orang Melayu itu seharusnya mengundang rasa terharu bagi mereka yang masih ada rasa cinta dan setia pada agama dan bangsa. Tidak hairanlah ramai yang menitiskan air mata.
“Namun kegembiraan kita tentang kerjasama itu tidak seharusnya mengalpakan kita tentang hakikat sebenar kerosakan yang telah berlaku kepada umat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Badhrulhisham, kerjasama itu datang selepas umat Melayu hilang segala-galanya termasuk kegagalan menguasai 30 peratus daripada ekuiti negara, seperti yang disasarkan Dasar Ekonomi Baru malah kita hilang dominasi politik.
“Kerajaan yang didominasi DAP kini sedang rakus menjual aset negara, merubah polisi yang menyebelahi orang Melayu dan membaham segala peluang yang ada selagi mereka berkuasa. Ketamakan mereka menyebabkan rakyat negara ini berantakan sesama sendiri,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, rakyat bukan sekadar menunggu untuk menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) malah yang lebih kritikal mereka mahu tahu apakah perubahan yang dijanjikan oleh kerjasama Pas dan UMNO, soalnya.
“Apa yang ditunggu-tunggu oleh rakyat, Muafakat Nasional adalah gagasan yang mampu menunjukkan kematangan dan kejantanannya melalui agenda mempertahankan identiti Islam dan Melayu negara ini serta mengekang kerakusan pihak yang secara terang-terangan memusuhinya,” katanya.
Justeru, Berjasa berpandangan bahawa kerja yang perlu dilakukan oleh Muafakat Nasional adalah untuk mendapatkan kembali dominasi kuasa di tangan orang Melayu dan ia bukan mudah apatah lagi membina dominasi ekonomi. – MalaysiaGazette