Home Nasional Imigresen tak melindungi pegawai tiada integriti

Imigresen tak melindungi pegawai tiada integriti

Khairul Dzaimee Daud

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan penahanan seorang pegawainya oleh polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama beberapa barang dokumen asing dan cop imigresen serta seorang wanita semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud mengesahkan penahanan itu dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya, pegawai berkenaan ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pemalsuan cop keselamatan imigresen.

“JIM mengesahkan penahanan pegawai tersebut dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak PDRM bagi membantu siasatan.

“JIM tidak akan berkompromi dan melindungi mana- mana pegawai yang tidak berintegriti dan terlibat dalam aktiviti yang melanggar undang-undang.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada jika pegawai berkenaan terbukti bersalah,” katanya lagi.

Terdahulu, laporan tangkapan pegawai Imigresen itu tular dalam media sosial.

Pegawai berkenaan berusia 40 tahun ditahan bersama seorang wanita Cina dan kereta Hyundai Sonata berwarna perak yang dipandu wanita berkenaan ke Lapangan Terbang KLIA.

Dalam satu serbuan ke atas kenderaan yang mencurigakan menurut dua anggota polis peronda lapangan terbang sekitar 1.30 petang semalam, barangan berupa wang tunai, dokumen pasport warga asing, kad MyPR berwarna merah, pelekat hijau Imigresen bernombor siri, cop imigresen dan sebagainya telah dirampas.

Kedua-dua mereka ditahan untuk disiasat dibawah Seksyen 402 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan penipuan selain cuba membawa masuk warga asing.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pegawai Imigresen ditahan, rampas pasport dan wang tunai